Mencari Hasil Ilmu

Wednesday, January 06, 2010

27 NGO Islam sokong KDN

Sebanyak 22 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menyokong penuh tindakan kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan Gereja Katolik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan Herald-The Catholic Weekly.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, keputusan itu diambil dalam sesi perbincangan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama kumpulan NGO itu semalam.

"NGO Islam juga menyokong langkah kerajaan untuk menjaga keharmonian negara dan semua penganut agama tanpa membelakangkan Perlembagaan yang memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi negara," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau yang sebelum itu menemui Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Perdana Menteri meminta rakyat meyakini kerajaan dalam menangani isu berkenaan dan menyerahkannya kepada kebijaksanaan mahkamah.

"Perdana Menteri berharap umat Islam bertenang dan pihak lain pula jangan cuba mengambil kesempatan," katanya.

Selain itu, Jamil Khir berkata, bagi mempertahankan kedudukan kalimah Allah bagi agama Islam, NGO Islam juga mencadangkan penggunaan saluran sedia ada termasuk membawanya kepada Majlis Raja-Raja.

"Kita sepakat berdiri teguh mempertahankan kesucian kalimah Allah dan menjaga kedaulatan raja-raja Melayu sebagai ketua agama," tegasnya.

Beliau berkata, pihak berkuasa termasuk polis diharap bekerjasama menguatkuasakan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-agama Bukan Islam yang diwartakan di negeri-negeri kecuali Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan serta Sabah dan Sarawak.

"Kita mencari kata sepakat bahawa semua pemimpin Islam tanpa mengira latar belakang politik seharusnya berdiri bersama-sama menyatakan pendirian tentang penggunaan kalimah Allah.

"Pada masa sama, kita juga perlu menjaga keharmonian dan ketenangan sedia ada, jangan ada pihak yang mengambil kesempatan atas apa yang berlaku sekarang," katanya.

Tambahnya, Jakim akan menggerakkan program penjelasan mengenai isu itu kepada umat Islam seperti melalui khutbah Jumaat dan forum selain NGO Islam boleh meningkatkan dialog intelektual termasuk dengan masyarakat bukan Islam.

"Ini perlu untuk menjelaskan penggunaan kalimah Allah dalam konteks Islam di Malaysia dan kemurnian mengikut perundangan dan sejarah negara serta Islam di Malaysia sejak dahulu," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan penulis-penulis blog agar menggunakan kebijaksanaan dalam mengulas isu berkenaan dan jangan melanggar batasan undang-undang.

"Pendirian tentang kalimah Allah bukan sekadar untuk kepentingan umat Islam tetapi demi keharmonian yang juga akan dinikmati bersama oleh golongan bukan Islam.

"Kerajaan akan memastikan tidak ada pihak yang cuba mengelirukan masyarakat, ini hal sensitif, jangan hanya satu pihak yang menjaga keharmonian, semua pihak kena jaga," katanya.