Mencari Hasil Ilmu

Wednesday, December 02, 2009

Pungutan suara mungkin dibatalkan

Majlis Eropah semalam menyuarakan kemungkinan keputusan pungutan suara di Switzerland untuk mengharamkan pembinaan menara masjid dibatalkan kerana pengharaman itu dipercayai melanggar kebebasan asasi.

Badan pemantau tertinggi hak asasi manusia di Eropah itu berkata, pengharaman menara baru masjid di Switzerland menimbulkan persoalan sama ada hak asasi individu yang dilindungi oleh perjanjian antarabangsa boleh dibiarkan tertakluk kepada pungutan suara.

Kenyataan oleh Setiausaha Agung badan 47 negara itu, Thorbjorn Jagland semalam menggambarkan kes boleh difailkan bagi memohon keputusan daripada Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah supaya mengutuk Switzerland kerana mencabuli kebebasan bersuara, kebebasan beragama dan melakukan diskriminasi.

Menteri Kehakiman Switzerland, Eveline Widmer-Schlumpf berkata, pengharaman itu akan dikuatkuasakan serta-merta tetapi beliau juga membayangkan kemungkinan mahkamah membatalkan keputusan pungutan suara kelmarin kerana ia bercanggah dengan Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia.

Keputusan untuk mengharamkan pembinaan menara masjid yang digunakan untuk melaungkan seruan azan itu telah mendapat kutukan dari dalam dan luar Switzerland, bukan sahaja daripada negara Islam tetapi juga negara Barat lain.

Referendum anjuran parti-parti nasionalis itu diluluskan oleh 57.7 peratus penduduk, memaksa kerajaan mengisytiharkan pengharaman pembinaan menara baru masjid di Switzerland. Ia bagaimanapun tidak menjejaskan empat menara masjid yang sudah ada di negara ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Ekmeleddin Ihsanoglu menyifatkan pengharaman itu sebagai 'contoh perbuatan mengapi-apikan sentimen anti-Islam di Eropah oleh ahli-ahli politik pelampau berhaluan kanan yang mengetepikan kewarasan, kebijaksanaan dan nilai-nilai sejagat.

Menteri Luar Perancis, Bernard Kouchner berkata, beliau 'terperanjat' dengan keputusan pungutan suara yang disifatkannya sebagai 'penindasan ke atas agama'.

"Saya berharap Switzerland akan memansuhkan keputusan itu dengan segera kerana ia menggambarkan sikap tidak toleransi dan saya membenci sikap sedemikian," kata Kouchner.

Penyiasat khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kebebasan beragama, Asma Jahangir berkata, pengharaman ke atas pembinaan menara baru masjid jelas menandakan 'diskriminasi terhadap anggota masyarakat Islam di Switzerland'