Mencari Hasil Ilmu

Thursday, December 24, 2009

Peraturan khas pastikan Ahli Parlimen BN hadir dewan

Barisan Nasional (BN) akan menyediakan peraturan khas bagi memastikan jumlah Ahli Parlimennya di Dewan Rakyat sentiasa mencukupi bagi mengelakkan masalah ketidakcukupan wakil untuk meluluskan sesuatu usul.

Peraturan baru itu akan memastikan jumlah Ahli Parlimen BN sentiasa melebihi bilangan anggota pembangkang supaya kejadian kekurangan wakilnya ketika meluluskan Bajet 2010 baru-baru ini tidak berulang.

Menurut sumber, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi BN kini dalam peringkat mengenal pasti prosedur yang akan diperkenalkan itu dan kemungkinan diguna pakai pada sesi persidangan akan datang mulai Mac depan.

Katanya, Najib akan mengadakan pertemuan khas dengan semua 137 Ahli Parlimen BN dalam masa terdekat bagi membincangkannya bersama serta menerangkan peraturan baru itu.

Selain itu, peraturan itu akan menugaskan semua menteri secara bergilir-gilir berada di Dewan Rakyat pada setiap sesi persidangan bagi memastikan kehadiran Ahli Parlimen BN sentiasa mencukupi.

"Perdana Menteri membincangkan perkara ini secara serius dalam mesyuarat Kabinet hari ini (semalam) dan tidak mahu kejadian 14 Disember lalu berulang," katanya.

Dalam kejadian itu, Bajet 2010 hanya diluluskan dengan kelebihan majoriti tiga undi menerusi undi belah bahagian, iaitu 66 menyokong dan 63 menolak.

Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, terpaksa bergegas dari majlis di ibu negara untuk memastikan Bajet 2010 diluluskan dalam undian pada jam 11.15 malam itu.

Ketika itu, 74 Ahli Parlimen BN tidak hadir pada sesi bacaan kali ketiga Bajet 2010 untuk kelulusan. Kehadiran Ahli Parlimen BN hanya 48 peratus, iaitu 66 daripada 137 anggota berbanding 77 peratus pembangkang, iaitu 63 daripada 82 anggota.

Mengikut konvensyen yang diamalkan di negara lain, termasuk negara Komanwel, Parlimen akan dibubarkan dan Perdana Menteri digantikan jika bajet nasional tidak diluluskan.

Sumber itu juga berkata, peraturan ini juga akan menetapkan hukuman terhadap Ahli Parlimen BN yang gagal hadir tanpa sebab ketika persidangan.

Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika dihubungi berkata, hanya Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan 12 Senator yang dilantik saja ti-dak boleh mengambil bahagian dalam undi belah bahagian.

Katanya, semua 222 Ahli Parlimen termasuk 137 daripada BN yang turut dianggotainya dan seorang lagi Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee serta 82 wakil pembangkang dan tiga wakil Bebas boleh mengundi.

"Bagi membolehkan sesi perbahasan berlangsung, jumlah korum bagi kerajaan atau pembangkang tidak ditetapkan, tetapi jumlah Ahli Parlimen dalam Dewan mestilah sekurang-kurangnya 26 orang," katanya.

Beliau juga berkata, BN hanya memerlukan kelebihan satu ketika mengundi sesuatu usul untuk diluluskan sebagai akta.

"Majoriti satu undi saja sudah memadai untuk meluluskan usul melalui undi belah bahagian. Hanya pindaan Perlembagaan Persekutuan saja yang memerlukan sokongan dua pertiga daripada Ahli Parlimen," katanya.