Mencari Hasil Ilmu

Tuesday, December 01, 2009

Mufti Mesir kecam pungutan suara hina Islam

Mufti Mesir, Ali Gomaa mengutuk keputusan pungutan suara di Switzerland semalam yang mengharamkan pembinaan menara baru masjid dan menyifatkannya sebagai satu penghinaan terhadap umat Islam di seluruh dunia.

Gomaa, bagaimanapun menyeru umat Islam supaya jangan melatah dengan keputusan yang disifatkan oleh beliau sebagai provokasi itu.

Majoriti besar pengundi di Switzerland memilih untuk mengharamkan pembinaan menara baru masjid dalam satu pungutan suara anjuran sebuah parti berhaluan kanan, semalam.

"Usul ini bukan sahaja dianggap sebagai serangan terhadap kebebasan beragama tetapi juga percubaan untuk menyinggung perasaan umat Islam di Switzerland dan luar negara," kata Gomaa kepada agensi berita rasmi, MENA hari ini.

Beliau menggesa 400,000 penduduk Islam di Switzerland supaya menggunakan saluran 'dialog' dan undang-undang untuk mencabar pengharaman tersebut yang beliau gambarkan sebagai 'perbuatan provokasi'.

Parti terbesar di Switzerland, Parti Bangsa Swiss (SVP) yang berhaluan kanan telah memaksa pungutan suara diadakan selepas memenuhi syarat dengan berjaya memungut 100,000 tandatangan daripada pengundi yang layak dalam tempoh 18 bulan lalu.

Gomaa turut menyeru umat Islam supaya jangan terpengaruh dengan 'provokasi itu' dan menegaskan bahawa Islam 'menganggap umat manusia sebagai sebuah keluarga'.

Mesir ialah negara Arab yang mempunyai penduduk paling ramai dan berada di barisan hadapan dalam melancarkan tindak balas terhadap Denmark pada 2006 selepas sebuah akhbar Denmark menyiarkan karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW.