Mencari Hasil Ilmu

Tuesday, December 01, 2009

Iran susun struktur tentera laut

Iran menyusun semula struktur tentera lautnya bagi memberi satu cabang Kor Pengawal Revolusi tanggungjawab penuh terhadap operasi di Teluk Parsi, sekiranya meletus konflik.

Menurut kajian Jabatan Perisikan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), penempatan banyak bot penyerang laju dan peluru berpandu di kawasan Selat Hormuz dan Teluk Parsi oleh Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi (IRGCN) ‘meningkatkan keupayaan aset tentera laut Iran untuk membantu memantapkan lagi strategi pertahanan Iran yang berlapis-lapis’.

Pengawal Revolusi Iran beransur-ansur meningkatkan keupayaan tentera lautnya sejak beberapa tahun lalu dengan menggabungkan reka bentuk dan teknologi dari China, Korea Utara dan Itali.

Kor elit itu, kini menempatkan antara bot tentera laut paling laju di Teluk Parsi dan dilaporkan mahu membina atau membeli bot tentera laut ‘tanpa pemandu’, menurut kajian bertarikh Ogos 2009 itu.

Sebagai sebahagian penyusunan semula yang bermula pada 2007, Tentera Laut Republik Islam Iran (IRIN) telah mengerahkan aset tentera lautnya sendiri ke perairan lebih jauh di Teluk Oman.

Penilaian mengenai keupayaan baru tentera laut Iran itu disiarkan ketika ketegangan semakin meningkat di Republik Islam ini dengan kuasa-kuasa besar berhubung program nuklearnya.

Iran semalam mengumumkan rancangan untuk membina 10 loji baru pengayaan uranium bagi membesarkan program tenaga atomnya, hanya dua hari selepas Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengkritiknya kerana menjalankan kegiatan seumpama itu.

Kajian AS itu memetik kenyataan terbuka para pemimpin Iran sebagai berkata, mereka akan bertindak balas terhadap sebarang provokasi dengan ‘menimbangkan untuk menutup atau menguasai Selat Hormuz, dengan itu menutup hampir 30 peratus daripada bekalan minyak dunia’.

“Menutup Selat Hormuz akan mendatangkan kerosakan ekonomi besar terhadap Iran yang tentunya tidak akan mengambil langkah tersebut dengan sewenang-wenangnya,” menurut kajian itu dengan menambah kata, menyekat aliran lalu lintas atau mengancam untuk berbuat demikian boleh menjadi alat berkesan bagi Iran