Mencari Hasil Ilmu

Wednesday, December 16, 2009

Iktibar Bagi Geng BARISAN NASIONAL

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia meminta Ahli Parlimen mengambil iktibar insiden Bajet 2010 hampir tidak diluluskan malam tadi ekoran perbezaan undi yang tipis antara penyokong kerajaan dan pembangkang.

Katanya, Bajet 2010 sekiranya tidak diluluskan akan memberi implikasi buruk bukan sahaja kepada kerajaan Barisan Nasional (BN), malahan negara secara keseluruhannya.

''Ini bermakna kerajaan tidak akan mendapat perbelanjaan yang dibentangkan baru-baru ini kerana Dewan Rakyat tidak meluluskannya,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Malam tadi, Bajet 2010 sewaktu bacaan kali ketiga iaitu belanjawan sulung yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hampir tidak diluluskan apabila hanya 66 undi menyokong sementara 63 wakil rakyat pembangkang menolaknya.

Ia berlaku kerana ramai Ahli Parlimen BN tidak hadir yang difahamkan antaranya atas alasan menghadiri beberapa majlis rasmi yang penting.

Pandikar Amin turut menyeru semua wakil rakyat supaya bersikap budiman serta tidak menjadikan Parlimen sebagai tempat menguji kuasa masing-masing.

''Buat pembangkang, janganlah kerana mengetahui wakil rakyat BN seperti tidak cukup kuorum, anda mengambil kesempatan kerana implikasinya amat besar dan Parlimen diasaskan dengan prinsip konvensyen dan lelaki budiman.

''Bagi wakil rakyat BN pula, yang mana tiada acara penting haruslah sentiasa hadir ke sidang Parlimen dan jadilah seorang Ahli Parlimen yang benar-benar serius dan efektif,'' tegasnya.

Dalam pada itu, Ketua Whip BN, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sewaktu ditemui pula kesal dengan ketidakhadiran beberapa Ahli Parlimen malam tadi.

Beliau memberitahu, setiap Ahli Parlimen sepatutnya mengetahui tanggungjawab hadir ke sidang Dewan sekiranya tiada acara atau tugas lain.