Mencari Hasil Ilmu

Wednesday, December 02, 2009

Henti perlumbaan senjata

Negara-negara ASEAN perlu membuat perjanjian tidak menambah keupayaan pertahanan masing-masing bagi memastikan rantau ini bebas daripada perlumbaan senjata.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, hanya dengan cara itu perlumbaan senjata di rantau ini dapat dihentikan kerana tanpa sebarang perjanjian, negara-negara serantau akan terus meningkatkan keupayaan masing-masing.

''Kalau orang lain buat juga, kita pun kena buatlah.

''Tetapi kalau tak nak, mesti ada perjanjian antara negara yang berkenaan bahawa mereka tidak akan menambah keupayaan mereka, baru kita juga boleh kurangkan," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa melawat Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di Padang Matsirat di sini hari ini.

Menurutnya, jika negara ini sahaja yang bertindak mengurangkan keupayaan pertahanan sudah pasti ia akan menjadi sasaran negara lain yang terus menambah kekuatan pertahanan mereka.

Dr. Mahathir berkata, kos peralatan pertahanan ketika ini semakin tinggi dan kebanyakan negara tidak mampu untuk memiliki aset berkenaan.

''Kita belanja ini (pembelian senjata) tidak dapat pulangan melainkan ada peperangan," katanya.

Ditanya mengenai LIMA 2009, bekas Perdana Menteri itu yang mencetuskan idea penganjuran pameran dwi tahunan tersebut berkata, beliau gembira kerana ia dapat dianjurkan dengan jayanya pada tahun ini.

''Saya gembira kerana LIMA dapat dianjurkan pada tahun ini walaupun dunia sekarang ini berada dalam keadaan cemas dan pameran-pameran udara di tempat lain tidak mendapat penyertaan seperti sebelum ini,' katanya.

Beliau berkata, lebih menarik apabila melihat penyertaan syarikat tempatan yang begitu ke hadapan teknologi mereka termasuk elektronik dan ia merupakan satu kejayaan yang boleh dibanggakan.

Mengenai penglibatan syarikat swasta dalam pembuatan pesawat tanpa pemandu (UAV), katanya, beliau melihat sudah ada kemajuan yang cukup baik dalam bidang itu malah ada yang mampu membekalkannya ke negara lain seperti Australia.

Terdahulu bekas Perdana Menteri itu meluangkan masa menyaksikan pertunjukan udara bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan menteri-menteri pertahanan serta para pegawai kanan tentera sempena pembukaan rasmi LIMA 2009.

Beliau turut melawat gerai-gerai pameran di MIEC dan mendengar taklimat ringkas daripada syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam pameran itu.