Mencari Hasil Ilmu

Thursday, December 10, 2009

EU gesa Israel berkongsi Baitulmaqdis

Kesatuan Eropah (EU) semalam menggesa Israel berkongsi Baitulmaqdis dengan Palestin di bawah perjanjian damai Asia Barat dan menjadikan kota suci itu sebagai ibu negara bagi Israel dan sebuah negara Palestin pada masa depan.

Perdamaian sebenar memerlukan penyelesaian status Baitulmaqdis menerusi rundingan, kata Menteri-Menteri Luar EU, mengulangi pendirian yang ditolak oleh kerajaan Israel sekarang.

Menteri Luar tersebut dalam kenyataan mereka juga menolak tindakan Israel merampas bahagian timur Baitulmaqis yang majoriti penduduknya Arab.

"EU tidak akan mengiktiraf sebarang perubahan pada sempadan sebelum 1967 termasuk perubahan berkaitan Baitulmaqdis, selain apa yang sudah dipersetujui oleh pihak-pihak terlibat", menurut kenyataan itu.

Israel menawan Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur daripada Jordan semasa Perang Enam Hari 1967 dan kemudian merampas Baitulmaqdis Timur serta kawasan berdekatannya, dalam langkah yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengambil alih kuasa pada Mac lalu dengan mengisytiharkan, Baitulmaqdis akan terus menjadi 'ibu negara yang tidak boleh dibahagikan' bagi negara Yahudi itu.

Beliau juga berkali-kali menolak kemungkinan status Baitulmaqdis pada masa depan dibincangkan dalam rundingan damai.

Perdana Menteri sebelum beliau, Ehud Olmert pernah berkata, Israel akan terpaksa melepaskan beberapa bahagian kota suci tersebut di bawah perjanjian damai menyeluruh.

Di Ramallah, Tebing Barat, Perdana Menteri Palestin, Salam Fayyad kelihatan terharu dengan kenyataan EU itu.

"Saya berpendapat ini satu perkembangan baik bagi undang-undang antarabangsa, bagi pengesahan antarabangsa, bagi keadilan dan bagi rakyat kami sendiri untuk mula menaruh harapan bagi masa depan," kata beliau.

Fayyad berharap 'jalan ini akan membawa kebebasan kepada kami untuk hidup seperti semua bangsa lain di serata dunia sebagai bangsa yang bebas dan bermaruah di negara kami sendiri di wilayah-wilayah yang diduduki pada 1967, termasuk Baitulmaqdis Timur'.

Amerika Syarikat (AS), EU, Rusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggap status Baitulmaqdis sebagai satu isu utama untuk diselesaikan bila dan jika rundingan damai antara Israel dan Palestin disambung semula mengenai apa yang dikenali sebagai 'penyelesaian dua negara