Mencari Hasil Ilmu

Friday, December 18, 2009

bukan Melayu tidak menyenangi istilah bahasa Melayu?

SAYA tertarik dengan pendapat Jamil Ahmad dalam tulisannya bertajuk “Kenapa Singapura lebih berjaya pupuk perpaduan melalui bahasa” (Utusan Malaysia 16 Disember 2009).

Penulis telah berhasil membentangkan dengan jelas bagaimana Lee Kuan Yew berjaya menggunakan peranan bahasa untuk melahirkan perasaan dan semangat ‘kekitaan’ di kalangan rakyat Singapura yang berbilang kaum itu.

Beliau juga telah menyatakan dengan tepat bahawa Malaysia, walaupun telah mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, tidak mempunyai keazaman politik untuk mengambil tindakan tegas dari awal untuk melaksanakan perkara yang sama, tetapi sebaliknya lebih suka bermain politik untuk mengekalkan pengaruh dan akhirnya menghadapi malapetaka pada tahun 2008.

Bagaimanapun, saya tidak bersetuju dengan pandangan penulis yang menyalahkan pejuang bahasa dan Dewan Bahasa dan Pustaka kerana kegagalan ini.

Saya bingung apabila beliau menyatakan “... masih menggunakan slogan gunakanlah bahasa Melayu untuk kempen bahasa yang mana mereka tidak sedar ia amat menyakitkan hati kebanyakan bukan Melayu.”

Kenapa bukan Melayu perlu sakit hati? Penulis perlu faham bahawa bahasa Melayu ialah bahasa rasmi negara ini dan ia sewajarnya dimiliki dan di senangi oleh semua orang yang mengakui dirinya rakyat Malaysia tanpa mengira asal keturunan mereka.

Lihat bagaimana bahasa Inggeris diterima pakai sebagai bahasa rasmi United Kingdom. Saya tidak pernah pula terdengar orang keturunan Welsh, Scottish atau Irish yang merasa sakit hati! Begitu juga dengan penggunaan bahasa Mandarin (pertuturan bangsa Han) sebagai bahasa rasmi negara China dan bahasa Hindi (dialek utara India) sebagai bahasa rasmi utama India.

Itu belum mengambil kira bahasa Thai yang digunakan dengan meluas di Thailand walaupun terdapat ramai rakyat keturunan Cina (14 peratus) dan bahasa Indonesia (yang diubah suai dari bahasa Melayu) walaupun bangsa Jawa merupakan 40 peratus daripada rakyat Indonesia. Jadi kenapa orang bukan Melayu di Malaysia perlu sakit hati dengan nama bahasa Melayu?

Saya juga amat tidak bersetuju apabila beliau merumuskan “...cara pendekatan orang Melayu sendiri yang menyebabkan masyarakat merasakan bahasa Melayu sebagai bahasa untuk Melayu sahaja.” Apakah pendekatan negatif yang telah diambil oleh orang Melayu sehingga dituduh sedemikian?

Saya tidak nampak bagaimana orang Melayu walaupun sekelumit boleh disalahkan dalam hal ini. Setahu saya orang Melayu telah terlalu banyak memperlihatkan toleransi dan mengalah dalam serba-serbi termasuklah dalam isu bahasa ini. Perkara ini tidak boleh di pandang remeh oleh pihak-pihak yang berwajib jika ingin melihat negara ini terus berperanan di persada dunia.

Adalah lebih baik jika penulis menyelami apa yang tersirat di dalam sanubari orang bukan Melayu yang tidak menyenangi istilah bahasa Melayu ini.

Saya berpendapat mereka ini sengaja menunggang belakang parti politik dan NGO tertentu dalam usaha mengejar cita-cita cauvinis mereka sambil memandang rendah kepada kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Mereka langsung tidak mengambil kira usaha yang dibuat demi perpaduan antara kaum bagi masa depan rakyat negara ini. Maka tepatlah seperti pepatah Melayu ‘Kalau hendak seribu daya, kalau tidak seribu dalih’.

Saya berpendapat penulis sewajarnya berfikiran terbuka dan luas dan jangan mengikut emosi atau terlalu menjaga hati orang lain dalam memperjuangkan status bahasa Melayu sebagai ‘lingua franca’ rakyat Malaysia.

Beliau juga perlu mengambil kira kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara. Pada masa yang sama beliau juga perlu prihatin mengenai tahap pengorbanan yang telah dibuat oleh orang Melayu dalam memastikan negara ini terus aman dan makmur. Usaha memartabatkan bahasa Melayu juga sebenarnya adalah menjurus ke arah menjayakan matlamat murni ini.

Saya percaya semua rakyat tanpa mengira bangsa dan keturunan akan menjiwai bahasa Melayu sebagai bahasa mereka sendiri jika kerajaan bijaksana, tegas dan konsisten dalam merancang dan melaksanakan masa depannya.

Mungkin tindakan awal dan paling strategik yang boleh diambil oleh pihak berkuasa bagi mencapai objektif ini ialah dengan memperkenalkan sistem satu sekolah seberapa segera.