Mencari Hasil Ilmu

Sunday, November 22, 2009

Umat Islam ditakuti kerana banyak anak

SEJAK serangan 911 (11 September 2001) di Amerika Syarikat, Islam telah dianggap sebagai musuh baru kepada dunia Barat. Kasihan mereka. Ketakutan itu bukanlah tidak berasas kerana sememangnya wujud elemen ketaksuban dan militan yang tinggi yang dianjurkan oleh al-Qaeda ke atas sasaran di Barat.

Kasihan mereka kerana pada masa yang sama, ia menutup hati mereka kepada ajaran ad-din, sebaliknya kini memikirkan yang aneh-aneh mengenai dunia Islam. Walhal yang ganas hanya sekelumit sahaja daripada umat Islam di seluruh dunia.

Bagi kebanyakan sarjana atau penulis Barat, mereka cenderung untuk mengklasifikasikan dunia Islam kepada dua pihak. Satu fundamentalis iaitu daerah yang bergolak seperti Afghanistan, Iraq, Iran dan Sudan. Satu lagi Islam sederhana iaitu didefinisikan sebagai negara yang mengamalkan Islam tetapi pada masa yang sama, memeluk idea-idea Barat.

Tulisan Lewis M. Simons dalam Newsweek keluaran 16 November 2009 memberi gambaran betapa semakin rumitnya persepsi Barat terhadap dunia Islam. Simons yang merupakan wartawan pemenang anugerah Pulitzer menggambarkan dunia Islam di Asia Tenggara iaitu Indonesia, Malaysia, selatan Filipina dan selatan Thailand serta Singapura (betulkah?). Malaysia pada Simons, sudahpun sebuah negara Islam fundamentalis yang terkenal, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malaysia, negara fundamentalis Islam? Kalau benar apa yang ditulis oleh Simons, tentunya Pas sudah tidak ada bahan untuk mencemuh kerajaan. Mungkin persepsi Simons didorong oleh berita-berita yang dilaporkan dari Malaysia mengenai hukuman sebat ke atas peminum arak, pembatalan konsert Beyonce, penahanan bekas mufti dan sebagainya yang mungkin dilihat sebagai ‘bukti’ kriteria sebuah negara fundamentalis Islam.

Simons secara umumnya menggariskan definisi fundamentalis Islam sebagai mereka yang mahu menegakkan hukum Syariah kepada keluarga dan cara negara itu ditadbir. Ini ternyata kurang tepat dengan hakikat sebenar negara ini. Malaysia mengamalkan dwi-sistem iaitu Hukum Syariah khusus untuk umat Islam sahaja manakala bukan Islam mengikut Common Law yang diwarisi dari bekas penjajah British. Jadi rasanya Simons melabelkan Malaysia sebagai negara fundamentalis Islam berdasarkan persepsi dan bukan bukti sahih. Patutnya Simons mewawancara Pas sebelum menulis artikel kerana pasti Pas akan memberitahunya bahawa matlamat menegakkan negara Islam parti itu terpaksa disimpan dalam peti kayu demi memastikan sokongan bukan Islam pada pilihan raya akan datang.

Fundamentalis

Kita kasihankan Simons kerana beliau mewakili dunia Barat yang melabel- labelkan wujudnya Islam fundamentalis, Islam sederhana dan entah apa-apa lagi. Bagi umat Islam, hanya ada satu jenis Islam iaitu Islam ad-din. Simons bukan yang pertama atau terakhir beranggapan demikian. Sebenarnya, kebangkitan Islam hari ini bagaikan menjadi suatu trauma kepada Barat.

Begitu hebatnya ketakutan itu, terbukti pada kajian-kajian yang walaupun maklumat berguna, boleh juga dilihat sebagai cara Barat memprofilkan agama dengan sengaja. Jika ia dilakukan oleh pelobi-pelobi Kristian dan Zionis, tidak mengapa. Kita faham. Itu memang kerja mereka. Malangnya, ia turut meliputi badan-badan dunia. Biro Rujukan Kependudukan (PRB) di bawah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu rupa-rupanya menjadi platform kepada Barat untuk menilai perkembangan umat Islam terutama yang berhijrah ke Barat.

Antara tajuk yang luar biasa memprofilkan agama ialah ‘‘Apakah umat Islam memiliki lebih ramai anak berbanding wanita lain di Eropah barat?’’ yang dikaji oleh Mary Menderios Kent.

Kadar kelahiran yang sangat rendah di kebanyakan negara Eropah telah menyemarakkan kebimbangan mengenai bilangan penduduk yang menurun, namun satu segmen penduduk di benua itu, iaitu masyarakat Islam, dikatakan semakin bertambah. Peningkatan dari segi bilangan dan ramainya umat Islam yang boleh dilihat di Eropah barat, ditekan pula oleh tahap kesuburan yang rendah di kalangan bukan Islam, telah mendorong kebimbangan pihak tertentu di Eropah bahawa wilayah itu suatu masa nanti akan memiliki penduduk majoriti Islam, yang secara fundamentalnya merubah masyarakat Eropah.

Bagaimanapun, menurut laporan itu, kebimbangan tersebut didasarkan pada persepsi popular semata-mata, tapi tidak dengan bukti statistik. Disebabkan banyak negara Eropah tidak menetapkan rakyatnya menyatakan agama mereka secara rasmi, adalah sukar untuk mendapatkan anggaran tepat mengenai bilangan atau kadar kelahiran di kalangan umat Islam.

Begitupun, kata Kent lagi, adalah jelas bahawa umat Islam adalah jauh daripada mencapai status majoriti. Umat Islam membentuk kurang daripada 5 peratus penduduk di kebanyakan negara Eropah. Perancis mempunyai penduduk Islam terbesar di Eropah barat iaitu dianggarkan seramai 4 juta hingga 6 juta yang mewakili 6 peratus dan 10 peratus keseluruhan penduduk Perancis.

Walaupun ia menjadi bahan politik, Perancis sebenarnya sudah mula menikmati sedikit-sebanyak kelebihan daripada umat Islam yang berhijrah dari bekas tanah jajahannya di Afrika. Dalam arena bola sepak misalnya, terdapat sekurang-kurangnya tujuh pemain yang menganggotai skuad Piala Dunianya sekarang adalah beragama Islam iaitu Nicolas Anelka (Chelsea), Franck Ribery (Bayern Munich), Samir Nasri (Arsenal), Karim Benzema (Real Madrid), Eric Ebidal (Barcelona), Lassana Diarra (Real Madrid), Hatem Ben Arfa (Marseille).

Wujud

Diakui memang wujud komuniti Islam di beberapa negara di Eropah timur dan tengah, terutama di Balkan tetapi hanya di Albania umat Islam merupakan majoriti terbesar. Penduduk Islam di Rusia adalah besar, dianggarkan sekurang-kurangnya 15 juta. Berbanding umat Islam di Eropah barat yang merupakan sebahagian daripada gelombang penghijrahan besar yang bermula selepas Perang Dunia Kedua, hampir keseluruhan umat Islam di Eropah timur adalah lahir di situ.

Kajian oleh C.F. Westoff dan T. Frejka pada 2007 merumuskan walaupun imigran Islam memiliki anak yang lebih ramai dari orang Eropah yang lain, kadar kesuburan mereka kelihatan menurun mengikut masa, seringnya lebih cepat berbanding bukan-Islam.

Di Austria misalnya, wanita Islam mempunyai kadar kesuburan keseluruhan (satu anggaran kadar beranak setiap wanita) ialah 3.1 anak setiap wanita pada 1981, lebih tinggi daripada purata 1.7 bagi wanita Roman Katolik yang merupakan penduduk majoriti. Menjelang 2001, kadar Katolik telah menurun ke paras 1.3, tetapi kadar wanita Islam jatuh kepada 2.3 iaitu beza hanya satu anak setiap wanita antara wanita Islam dan bukan Islam.

Jadi apa sebenarnya yang menjadi ketakutan orang Barat ini terhadap Islam?Apakah ini turut mendorong Simons berpandangan Malaysia sebuah negara fundamentalis.