Mencari Hasil Ilmu

Saturday, November 14, 2009

Perlis ikut Ahli Sunnah Wal Jamaah

PENASIHAT Agama kepada Menteri Besar Perlis, Datuk Alim Panglima Mat Jahya Husin, berkata istilah Wahabi adalah salah dan tidak boleh dinisbahkan kepada Muhammad Abdul Wahab kerana beliau mengikut mazhab Hambali.

Beliau yang juga bekas Mufti Perlis berkata, perkara itu dijelaskan ulama Arab Saudi, Dr Syeikh Sulaiman as-Saloomi pada Seminar Antarabangsa Mengenai Syeikh Muhammad Abdul Wahab yang dianjurkan Kerajaan Perlis pada Mac 2006 bagi memperbetulkan persepsi salah mengenai istilah berkenaan.

"Maknanya istilah Wahabi itu tidak wujud di Arab Saudi kerana Muhammad Abdul Wahab yang bertanggungjawab menghapuskan khurafat dan mengembalikan masyarakat kepada al-Quran dan sunnah.

"Oleh itu, Muhammad Abdul Wahab jadi Wahabi itu datang dari mana dan Perlis tidak sepatutnya dikaitkan dengan Wahabi kerana Perlis berpandukan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah dan mazhab yang empat," katanya.

Beliau menjawab soalan seorang peserta seminar Taqlid, Ijtihad dan Talfiq: Skop Amalan dan Batasan anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang mahukan penjelasan mengenai Wahabi yang sinonim dengan Perlis.

Sebelum itu, ketika pembentangan kertas kerja bertajuk Keunikan Ahli Sunnah Wal Jamaah: Amalan di Negeri Perlis, Jahya berkata, tidak ada yang mengelirukan mengenai amalan di Perlis kerana dasar fatwa negeri itu berpandukan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Cuma katanya, Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) tidak terikat dengan mana-mana mazhab tertentu dan pendapat mereka yang nyata dari kitab Allah atau Rasul-Nya atau jamaah sahabat Rasulullah, majlis sedia menerima serta beramal dengannya.

"Perlis tidak ada masalah dengan penetapan itu dan jika ada yang tidak setuju, kerajaan negeri mengambil sikap keterbukaan. Baca basmalah secara perlahan dalam solat tarjihnya itu yang ditetapkan MAIPs tetapi jika ada baca nyaring tidak salah," katanya.

Katanya, begitu juga dalam amalan lain di Perlis berbanding negeri lain seperti tiada wirid secara jemaah, tidak mengaminkan doa imam, tiada bacaan qunut dalam solat Subuh, tidak menetapkan solat tarawih 20 rakaat, sekali azan pada solat Jumaat dan tidak membaca talkin.

Penasihat Perundangan Syariah, Jabatan Peguam Negara, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman pula berkata, perubahan dalam undang-undang dan peruntukan undang-undang secara ringkas berpandu kepada mazhab Syafie.

Bagaimanapun katanya, dalam banyak hal perundangan Islam di negara ini turut mengikut pandangan lain selepas mengambil, mengkaji dan mengeluarkan hukum dengan mengambil kira kepentingan dan kebajikan umum.

"Oleh itu, saya rasa di Malaysia kita berpandukan kepada al-Quran, sunnah, ijmak, qiyas dan selari itu kita juga melihat dan menggunakan kaedah istihsan (memperbaiki). Dalam peruntukan undang-undang juga, ijtihad dan talfiq turut digunakan secara meluas.

"Walaupun bermazhab penggunaan dan sumber pengambilan hukum begitu terbuka. Jika tidak, perundangan tidak berkembang seperti kita dapati hari ini," katanya yang membentangkan kertas kerja bertajuk Beberapa Manifestasi Penggunaan Ijtihad dan Talfiq dalam Peruntukan Statut Moden di Malaysia.

Antara contoh penggunaan ijtihad dan talfiq dalam perundangan ialah kuasa mahkamah membubarkan perkahwinan melalui fasakh kerana berlaku dhirar (penganiayaan) terhadap isteri seperti dipukul mengikut peruntukan mengikut Seksyen 53 Enakmen Undang-undang 2003.

Pembubaran melalui fasakh atas alasan dhirar berdasarkan pandangan dan pendapat mazhab Maliki sedangkan mazhab Syafie, pembubaran perkahwinan melalui fasakh atas alasan dhirar tidak dibolehkan.

Sheikh Ghazali berkata, perkembangan dalam perundangan di negara ini boleh diterima serta tidak diperdebatkan adalah hikmah apabila keputusan dibuat secara jemaah antara alim ulama, mufti, ketua hakim, pakat perundangan dan ahli akademik dalam bidang berkenaan.

"Ulama adalah pihak bertanggungjawab memastikan Islam itu didukung dan berusaha menjernihkan serta menyelesaikan masalah berlaku dalam kehidupan umat Islam. Oleh itu, kekuatan masyarakat terletak kepada kewibawaan dan peranan dimainkan ulama," katanya.