Mencari Hasil Ilmu

Saturday, November 14, 2009

Amerika rampas empat masjid

Pendakwa raya Persekutuan Amerika Syarikat (AS) sedang mengambil langkah untuk merampas empat buah masjid dan sebuah bangunan pencakar langit setinggi 36 tingkat di bandar raya ini daripada sebuah pertubuhan Islam, yang disyaki berada di bawah kawalan kerajaan Iran.

Yayasan Alavi telah menyalurkan dana secara haram kepada kerajaan Iran, menurut seorang pegawai di pejabat Peguam Negara AS bagi Daerah Selatan New York, Preet Bharara, semalam.

Bharara memfailkan aduan sivil kepada sebuah Mahkamah Persekutuan di sini untuk merampas akaun-akaun bank serta sebuah syarikat milik Yayasan Alavi, selain menara 36 tingkat tersebut, hartanah di Virginia dan pusat-pusat Islam yang menempatkan masjid di bandar raya New York dan negeri-negeri Maryland, Texas dan California.

Rampasan itu melibatkan sejumlah lapan hartanah dan sembilan akaun bank.

Dalam aduan setebal 97 muka surat itu, pendakwa raya menuduh para pegawai tinggi Iran termasuk bekas Perdana Menteri, Tahmasb Mazaheri dan duta-dutanya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terlibat dalam urus niaga yayasan tersebut.

"Yayasan Alavi sebenarnya bertindak bagi pihak kerajaan Iran," menurut kenyataan Bharara.

Tindakan itu dijangka memburukkan lagi hubungan antara Washington dengan Teheran, yang dituduh membiayai kumpulan pengganas dan merancang membina bom nuklear dengan berselindung di sebalik program nuklear untuk kegunaan awam.

Presiden Barack Obama semalam melanjutkan sekatan ekonomi ke atas Iran setahun lagi, dengan memberitahu Kongres 'hubungan kita dengan Iran belum pulih seperti biasa'.

Langkah untuk menyita tempat-tempat ibadat Syiah itu adalah sangat luar biasa bagi penguatkuasa undang-undang AS disebabkan kebebasan beragama yang termaktub dalam Perlembagaan AS.

Ia juga diambil ketika umat Islam di negara ini masih bimbang mereka akan menjadi sasaran serangan berikutan kejadian tembakan di pangkalan tentera Fort Hood, Texas pada minggu lepas, didakwa dilakukan oleh seorang pakar psikiatri tentera yang beragama Islam. - AFP