Mencari Hasil Ilmu

Sunday, October 25, 2009

Tragedi Perang

TRAGEDI peperangan tidak pernah memberi sebarang keuntungan kepada kehidupan manusia sejagat. Apatah lagi dalam setiap perang yang berlaku dalam dunia moden sekarang ia dikaitkan dengan peranan kuasa-kuasa besar sama ada secara langsung atau pun di belakang tabir.

Jika dahulu peperangan yang berlaku hanya melibatkan di antara tentera sahaja tetapi kini skop serangan semakin meluas sehingga melibatkan kawasan bandar mahupun kampung. Yang menjadi mangsa adalah masyarakat sama ada kanak-kanak, wanita mahupun orang tua.

Dalam wawancara dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berlangsung di pejabatnya di tingkat 86, Menara Berkembar Petronas bersama wartawan Mingguan Malaysia, WAN NORAZAH WAN CHIK dan HAFIZAHRIL HAMID beliau dengan lantang mengecam peperangan sebagai satu jenayah yang digunakan kuasa besar sebagai alasan untuk mewujudkan keamanan.

Beliau turut berharap melalui Persidangan dan Pameran Antarabangsa mengenai Jenayah Perang yang dianjurkan Pertubuhan Keamanan Sejagat Perdana (PGPF) selama empat hari mulai Rabu ini, ia dapat mendidik masyarakat dunia mengenai erti peperangan serta menanamkan sifat sukakan keamanan, kasih sayang dan belas kasihan.

Macam mana kita boleh mendedahkan jenayah perang kerana kuasa-kuasa besar sering memainkan peranan di belakang tabir?

Dr. Mahathir: Kalau kita lihat dahulu dalam soal perhambaan yang mengamalkan, mendagang serta mempunyai hamba yang ramai adalah mereka dari negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Britain. Tetapi apabila mereka memperolehi pendapat umum yang menolak perkara ini melalui suara dan undi mereka, maka kita boleh secara beransur-ansur menukar pemikiran.

Kita punya cadangan adalah supaya sesiapa yang ingin jadi calon presiden, ahli Kongres atau ahli Parlimen di negara-negara yang mempunyai kekuatan ketenteraan, mereka perlu berikrar tidak akan menggunakan peperangan untuk menyelesaikan sebarang pertelingkahan. Jika kita bagi sokongan kepada pemimpin seperti ini maka kita akan dapat Parlimen yang dipenuhi oleh mereka yang anti peperangan. Mereka ini juga boleh membuat undang-undang mencegah perang. Inilah yang berlaku ketika cubaan menghapuskan perhambaan. William Wilberforce, seorang ahli Parlimen Britain telah berusaha selama 20 tahun untuk menghentikan perdagangan hamba.

Namun akhirnya bukan sahaja perdagangan hamba dihentikan oleh kuasa besar dan peniaga besar tetapi hati kecil manusia beranggapan mempunyai hamba adalah sesuatu yang tidak harus dilakukan oleh mereka yang bertamadun. Mungkin satu hari kita akan mendapati orang ramai yang akan menjadi mangsa bila ada peperangan, mereka akan jadi mangsa.

Dahulu perang hanya membabitkan tentera dengan tentera di lapangan perang. Namun sekarang seluruh negara adalah lapangan perang. Apabila tentera meletupkan bom mereka bukan memilih sama ada mangsa itu askar atau atau bukan askar. Semua jadi mangsa sama ada orang tua, muda, perempuan atau lelaki semua kena. Maka ia adalah atas kepentingan orang ramai bahawa perang perlu dihapuskan. Ini kerana yang akan jadi mangsa adalah orang ramai sama ada mereka ini penyokong kerajaan atau musuh semua kena.

Bagaimana dengan pandangan bahawa kebanyakan peperangan dilakukan untuk melariskan perdagangan senjata?

DR. MAHATHIR: Ini sudah menjadi satu masalah yang besar. Sebenarnya industri senjata merupakan penyumbang terbanyak kepada ekonomi sesebuah negara. Jika tidak ada industri senjata atau penyelidikan berjuta pekerja akan kehilangan kerja mereka dan juga para kapitalis akan kehilangan keuntungan mereka. Namun apabila kita menghasilkan senjata maka ia akan ditambah baik dan ia akan dihasilkan dalam skala yang besar. Ini seolah-olah menunjukkan semakin banyak senjata maka kita tidak akan kalah dalam perang.