Mencari Hasil Ilmu

Saturday, October 31, 2009

Sekolah satu aliran capai gagasan 1Malaysia

SEORANG sarjana pendidikan dalam satu pertemuan dengan penulis akhir tahun lalu menelah isu sekolah satu aliran akan menjadi perdebatan umum dan tenggelam timbul selang lima tahun sekali.

Untuk melihat sekolah satu aliran dilaksanakan juga kata beliau, adalah sesuatu yang sukar kerana ia berkait rapat dengan survival sesebuah parti politik.

Apa yang paling dikesalkan beliau ialah isu tersebut tidak dilihat dalam ruang pandang yang lebih luas. Sekolah satu aliran ialah kemuncak kejayaan kepada sistem pendidikan negara yang mana ia tidak hanya berkisar kepada soal pencapaian akademik. Sebaliknya ia merupakan persoalan untuk pembinaan negara bangsa seperti mana yang diamalkan oleh kebanyakan negara di dunia.

''Melalui sekolah satu aliran juga, ia membolehkan rakyat berfikir sebagai satu bangsa," katanya dalam nada penuh harapan untuk menyaksikan sekolah satu aliran menjadi kenyataan satu hari nanti.

Belum pun cukup lima tahun dan ketika bayangan pilihan raya umum masih jauh, isu sekolah satu aliran sekali lagi disuarakan oleh ahli-ahli politik. Menariknya kali ini, baik kerajaan mahu pun pembangkang, bersatu hati dan suara dalam perkara tersebut.

Kerana itu juga, ramai menilai ada kesungguhan yang melampaui batas politik dan perkauman daripada gesaan itu. Ramai juga yang berharap biarlah kali ini, ia tidak hanya berlalu sebagai cakap-cakap kosong. Sebaliknya disusuli dengan satu tindakan dan dasar yang drastik yang memungkinkan pelaksanaannya menjadi satu kenyataan.

Memang tidak dinafikan, terlalu banyak pengorbanan yang bakal mengiringi hasrat murni ke arah menyatupadukan rakyat dan mengelakkan polarisasi kaum itu. Isu utama seperti identiti kaum dan survival bangsa serta bahasa pasti akan menjadi alasan popular yang dibangkitkan oleh mereka yang menentang.

Tidak kurang juga yang memandang rendah pada kredibiliti dan kualiti sekolah kebangsaan berbanding sekolah satu kaum yang dikatakan lebih berjaya melahirkan pelajar cemerlang.

Apa pun alasannya, ia hanyalah ketakutan tidak berasas sesetengah pihak yang sebenarnya enggan melihat Malaysia terbina daripada rakyat satu bangsa.

Mereka juga bimbang sekolah satu aliran bakal melenyapkan terus identiti sesuatu kaum. Sedangkan sekolah satu aliran walaupun menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, namun masih mengekalkan pengajaran bahasa ibunda kaum-kaum lain termasuk kebudayaan dan sejarah mereka.

Hakikat inilah yang gagal difahami oleh segelintir pihak yang sangat tebal dengan semangat perkaumannya. Yang menjadi mangsa ialah pelajar-pelajar kerana dinafikan hak mereka untuk bergaul dan saling mengenali di kalangan pelbagai kaum yang menjadi keluarga besar masyarakat Malaysia.

Faktor kekangan politik dan perkauman turut disuarakan oleh pensyarah sosial di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Dungun, Terengganu, Che Hamdan Che Mohd. Razali. Menurut beliau, rakyat dan pemimpin hanya ada dua pilihan dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini, sama ada inginkan politik perkauman mahupun perpaduan nasional.

Oleh itu, daripada segi kemampuan untuk melaksanakan sekolah satu aliran itu, ia banyak bergantung kepada kesedaran, kejujuran dan keinginan yang bersungguh-sungguh daripada semua pihak.

Beliau yang juga pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi universiti tersebut turut yakin dengan Penyata Razak (1956) dan Jawatankuasa Barnes (1950), yang antara lain mencadangkan penggunaan bahasa yang sama, dalam konteks Malaysia, Bahasa Melayu, sebagai bahasa tunggal pendidikan kebangsaan bagi membentuk perpaduan nasional.

''Namun, sentimen perkauman telah menggagalkan usaha tersebut kerana semua perkara dilihat dari sisi pandangan kaum masing-masing," katanya. Kerana itu juga, para pemimpin harus berani bertindak bagi menghapuskan sentimen perkauman dan menerangkan tentang bahaya sentimen tersebut kepada rakyat.

Che Hamdan juga melihat sekolah satu aliran memiliki semangat yang tepat dengan matlamat kerajaan dalam merealisasikan 1Malaysia. Ini kerana katanya, sekolah satu aliran akan mewujudkan interaksi yang lebih meluas antara pelajar semua kaum.

Dalam masa yang sama, ia juga memberikan kefahaman yang lebih tepat terhadap karektor kaum masing-masing. Pergaulan di peringkat asas ini penting bagi membolehkan mereka membuang rasa kekok untuk bergaul dalam persekitaran yang lebih besar. Ia termasuk semasa di institusi pengajian tinggi, di tempat kerja atau di dalam sebuah komuniti yang berjiran.

''Ia bukan sekadar diberikan gambaran bahawa penjajah telah membentuk masyarakat majmuk, tetapi pemahaman bagaimana kemajmukan ini telah menyumbang kepada kemakmuran negara melalui kepelbagaian yang ada," katanya.

Sesuatu yang pasti, cita-cita dan harapan untuk menyaksikan sekolah satu aliran ini terlaksana bukanlah mimpi di siang hari. Jika ditanya kepada kebanyakan rakyat di negara ini juga, ramai yang melihat ia merupakan pendekatan terbaik dalam merapatkan marginilisasi antara kaum.

Cuma apa yang perlu diberi penekanan ketika ini ialah kefahaman terhadap bagaimana ia bakal dilaksanakan. Bagi Che Hamdan juga, ada beberapa pendekatan yang boleh dilakukan kerajaan ke arah pelaksanaan sekolah satu aliran itu.

Pertamanya jelas beliau, kerajaan perlu menunjukkan dengan jelas bentuk sekolah satu aliran yang sebenarnya ingin dipraktikkan. ''Saya mencadangkan penekanan utama ialah dari segi bahasa. Bahasa Melayu perlu dijadikan bahasa pengantar dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Tetapi bahasa Mandarin dan Tamil pula wajar diperkukuhkan dengan menjadikannya subjek penting di sekolah," ujar beliau.

Perkara lain yang perlu diberi perhatian juga ialah kemahiran para guru bahasa-bahasa berkenaan yang perlu dipertingkatkan. Ini penting bagi menambah keyakinan rakyat berbilang kaum terhadap sekolah tersebut. Di samping itu tambah Che Hamdan, kerajaan perlu menjemput semua pihak, terutamanya badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kaum-kaum utama.

Tokoh-tokoh pendidikan juga perlu diajak sama dalam perbincangan itu bagi mendapatkan gambaran sebenar pelaksanaan sekolah satu aliran. ''Sebarang dialog dan kesediaan kerajaan untuk mendengar cadangan daripada golongan ini dapat memberikan pengaruh yang besar kepada keyakinan rakyat terhadap usaha 1Malaysia ini," ujar Che Hamdan.