Mencari Hasil Ilmu

Saturday, October 03, 2009

Indonesia Menang Tuntutan 'Batik'

Presiden Indonesia menggesa 234 juta rakyat negara itu memakai batik bagi meraikan kemenangan berhubung hak perebutan warisan kebudayaan dengan negara jiran, Malaysia.

Pertubuhan kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Unesco minggu ini dilaporkan akan meletakkan cara pembuatan batik yang diamalkan Indonesia - membabitkan proses rumit mencelup dengan lilin dan warna - dalam senarai Warisan Kebudayaan Dunia agensi badan dunia itu.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mengarahkan seluruh penduduk Indonesia meraikannya pada hari Jumaat ketika ia diisytiharkan secara rasmi dengan mengenakan baju, pakaian, blaus yang dibuat dari batik.

“Saya menggesa rakyat Indonesia di mana-mana juga memakai batik pada 2 Oktober,” kata Yudhoyono yang dipetik oleh agensi berita Antara ketika menghadiri mesyuarat pemimpin dunia G20 di Amerika Syarikat.

Yudhoyono berkata negara itu perlu mengadakan ‘parti batik’ untuk memberitahu dunia bahawa seni berkenaan datangnya dari Indonesia.

Media di sini juga berada dalam suasana kemenangan berikutan keputusan Unesco itu yang dilihat sebagai babak terkini dalam pertikaian dengan Malaysia yang didakwa sebagai ‘mencuri’ segala-galanya dari batik hingga tarian dan lagu negara itu.

Malah rakyat Indonesia berkata penggunaan teknik dan motif batik rakyat Malaysia juga sebagai satu plagiat.

Bagaimanapun pakar batik Persatuan Warisan Indonesia, Judi Achjadi berkata pengiktirafan Unesco terhadap batik Indonesia tidak bermakna Malaysia yang memiliki tradisi pembuatan pakaian sendiri tidak mempunyai hak terhadap hasil seni itu yang turut tersebar ke seluruh Asia, Asia Barat dan Afrika.