Mencari Hasil Ilmu

Friday, October 30, 2009

Bajet 2010 Bajet remaja

BAJET 2010 telah diumumkan Jumaat lepas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Bajet tersebut dirangka berdasarkan tiga strategi yakni memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, memastikan pembangunan holistik dan mapan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Sebagai remaja, bajet tersebut mempunyai impaknya yang tersendiri, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Di samping peruntukan dalam bidang pendidikan, Bajet 2010 turut mendorong penglibatan remaja dalam bidang pertanian dan prasarana komunikasi.

Peluang kerjaya dalam Pertanian

Melalui Bajet 2010, pihak kerajaan memperuntukkan sebanyak RM82 juta untuk memodenkan industri akuakultur dan pelaksanaan skim latihan keusahawanan bagi ternakan akuakultur, dengan tumpuan terhadap pengeluaran benih ikan dan ikan hiasan.

Sebanyak RM149 juta diperuntukkan demi membangunkan industri perladangan makanan, manakala sebanyak RM58 juta pula diperuntukkan ke arah membangunkan infrastruktur asas ladang ternakan dan mewujudkan rangkaian bekalan untuk pengeluaran daging dan kambing.

Banyak peluang pekerjaan, perniagaan dan keusahawanan bakal diwujudkan kesan pelaksanaan peruntukan tersebut. Bagi golongan remaja, hal ini sebenarnya membuka peluang kepada remaja untuk menceburi bidang pertanian sebagai kerjaya setelah tamat persekolahan atau pengajian kelak.

Malahan, para remaja bukan sahaja dapat melibatkan diri sebagai pekerja, tetapi juga sebagai usahawan dan pengedar rangkaian bekalan makanan.

Dari satu segi, usaha remaja menyertai bidang pertanian sebenarnya dapat memenuhi tuntutan fardu kifayah dalam menyediakan sumber makanan halal kepada umat Islam di negara kita.

Belanja persekolahan mengikut kemampuan

Keadaan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan kerajaan yang baru pulih daripada zaman kegawatan mungkin antara faktor yang memberi kesan terhadap bayaran khas kepada kakitangan awam pada tahun ini.

Jika pada tahun lepas, penjawat awam menerima bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000 tetapi tahun ini masing-masing menerima bayaran khas RM500. Jika situasi yang sama dilalui oleh sektor swasta, maka bayaran bonus buat kakitangan swasta juga mungkin tidak semewah tahun-tahun lepas.

Berdasarkan kedudukan kewangan semasa, golongan pekerja sama ada sektor awam atau swasta tentunya akan berusaha merancang perbelanjaan anak-anak bagi persekolahan sesi depan dan program cuti sekolah mengikut kemampuan yang lebih terbatas berbanding tahun-tahun lepas.

Jika selama ini remaja diraikan dengan pembelian perkakasan sekolah secara mewah, atau percutian ke tempat pelancongan yang eksklusif, mungkin pada kali ini tidak seperti sedemikian lagi.

Tatkala ini remaja perlu memahami ibu bapa perlu memperuntukkan perbelanjaan terhadap perkara yang lebih penting buat remaja.

Justeru remaja perlu sentiasa reda dan bersyukur atas apa yang dapat disediakan oleh ibu bapa berdasarkan kemampuan mereka. Inilah masanya untuk remaja mengenang budi baik ibu bapa selama ini iaitu dengan sentiasa berlapang hati dan berterima kasih kepada ibu bapa hatta di kala sedikit kesempitan hidup.

Remaja yang memahami tidak meminta-minta supaya dibelikan barangan di luar kemampuan mereka. Malahan remaja boleh menggunakan mana-mana barangan persekolahan yang masih elok dan bersesuaian untuk persekolahan sesi depan nanti.

Akses kepada dunia siber

Dalam usaha mempertingkatkan kadar penembusan bagi penggunaan Internet di kalangan rakyat, kerajaan memperuntukkan RM11.3 bilion untuk mempertingkatkan infrastruktur jalur lebar negara melalui Bajet 2010.

Selain itu, pembayar cukai pendapatan individu diberikan pengecualian cukai ke atas langganan jalur lebar sehingga RM500 setahun mulai 2010 hingga 2012, manakala penjawat awam pula dibenar meminjam untuk membeli komputer setiap tiga tahun sehingga maksimum RM5,000 berbanding sekali setiap lima tahun.

Bagi golongan remaja pula, pakej netbook dan jalur lebar akan ditawarkan kepada pelajar universiti dengan bayaran RM50 sebulan selama dua tahun. Tawaran oleh Telekom Malaysia itu disasarkan kepada 100,000 pelajar di semua universiti tempatan bermula 1 Januari 2010.

Dengan pemilikan komputer dan capaian Internet secara jalur lebar, remaja kini lebih mudah mengakses Internet. Tentunya Internet merupakan satu wadah pendidikan buat remaja dalam meningkatkan pengetahuan, meluaskan hubungan dan melebarkan usaha dakwah kepada insan lain.

Namun remaja juga bakal terdedah kepada pelbagai perkara negatif lain yang memudaratkan melalui penggunaan Internet. Justeru remaja perlu memiliki upaya menyaring dalam menelusuri pelbagai bentuk maklumat dalam internet agar tidak terpengaruh dengan pelbagai unsur negatif yang ada.

Keseronokan melayari Internet sememangnya mampu menjadikan remaja terleka. Justeru remaja juga perlu sentiasa peka tentang penggunaan masa agar tidak mengabaikan tanggungjawab sebenar remaja. Contohnya, apabila masuk waktu solat maka ia menandakan tibanya waktu untuk remaja menunaikan solat untuk waktu itu.

Internet juga membolehkan remaja berhubung dengan insan lain sama ada yang pernah dikenali secara langsung mahupun yang baru dikenali melalui internet. Dalam hal ini, komunikasi remaja boleh berlaku melalui emel, laman sosial seperti facebook, aplikasi mesej segera seperti yahoo messenger dan lain-lain kaedah.

Selain menghubungkan silaturahim antara sesama kenalan, Internet juga memungkinkan berlakunya komunikasi intim antara dua pihak, walaupun masing-masing tidak mengetahui latar belakang sebenar pihak yang lagi satu.

Oleh itu, remaja perlu berhati-hati dalam memilih kenalan Internet mereka agar tidak terpedaya dengan niat jahat pihak lain berkaitan wang, nafsu, jenayah dan sebagainya.

Isu pendedahan maklumat peribadi juga merupakan satu perkara yang perlu diambil kira oleh remaja. Maka di sini ibu bapa perlu berperanan dalam menyelia kaedah penggunaan Internet anak-anak mereka dari sudut kandungan bahan yang dilayari serta masa dan tujuan penggunaan Internet.

Perkongsian maklumat antara ibu bapa dan remaja berkenaan bahan dan kenalan adalah perlu demi memastikan penggunaannya secara bermanfaat.

Kesimpulan

Bajet 2010 mewujudkan peluang kepada remaja dari aspek kerjaya, komunikasi dan pendidikan. Kini segalanya bergantung kepada remaja untuk memanfaatkan peluang yang ada memajukan diri, bangsa dan negara.

Pada masa yang sama, peruntukan bayaran khas buat penjawat awam yang berkurangan berbanding tahun lepas menuntut remaja memahami situasi ibu bapa dalam merencana perbelanjaan secara berhemah untuk maksud program cuti sekolah dan persekolahan remaja.