Mencari Hasil Ilmu

Wednesday, September 09, 2009

Pembangkang Mungkin Menang Lagi

PILIHAN Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang bakal berlangsung nanti. Ia merupakan yang ke sembilan dalam siri PRK selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU 12).

Sudah pasti UMNO dan Pas akan meletak calon pada PRK itu. Berdasarkan daftar pemilih, kaum Melayu mewakili 66 peratus daripada 14,192 pengundi berdaftar. Pengundi India meliputi 19.9 peratus; Cina, 10.5 peratus dan kaum lain sebanyak 3.5 peratus.

PRK kali ini amat penting kepada BN. Oleh kerana Bagan Pinang kubu kuat, maka BN perlu menang. Imej BN tercalar selepas siri PRK pasca PRU12. BN hanya menang di Batang Air, Sarawak dan tidak bertanding di Penanti, Pulau Pinang serta kalah pada enam PRK lain.

Walaupun kalah, pola peningkatan undi Melayu dan pengundi muda seperti di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Manek Urai sedikit sebanyak "mengubat keperitan" akibat kekalahan berkenaan.

Namun walau apa pun analisisnya, dalam amalan "Demokrasi Berparlimen", kelebihan satu undi pun sudah memadai untuk diisytiharkan sebagai pemenang.

Maka BN wajib menang di Bagan Pinang. Bukan sekadar untuk mempertahankan kerusi, malah mesti dengan pertambahan majoriti.

Di atas kertas, BN dijangka tidak menghadapi ujian getir untuk memenangi hati pengundi. Namun dalam politik, sekiranya tersalah percaturan - terutama soal calon - ia mampu memberi kesan besar.

Walaupun Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, UMNO Teluk Kemang mempunyai ramai calon yang layak, pemilihan seharusnya dilakukan dengan teliti.

Calon mesti disaring, ditapis dan diteliti daripada pelbagai aspek termasuk latar belakang peribadi agar tidak dipersoal dan dimanipulasi oleh pembangkang sewaktu kempen.

Semua pihak terutamanya pemimpin UMNO dan BN harus ingat pesanan Datuk Seri Najib Razak agar menjadikan pengalaman sewaktu PRK-PRK sebelum ini sebagai iktibar jika ingin mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang.

Pada PRU12, Bagan Pinang terbahagi kepada sembilan daerah mengundi. Empat daerah mewakili majoriti pengundi Melayu dan India dan satu daerah campuran pengundi Cina serta undi pos.

UMNO/BN menang di enam daerah mengundi manakala Pas menang di tiga daerah yang majoriti pengundi berketurunan India.

Maka bagi menjamin kemenangan dengan majoriti lebih besar, parti-parti komponen BN mesti memainkan peranan dengan lebih proaktif. UMNO/BN harus memperkasakan strategi mempengaruhi pengundi ke arah memastikan kemenangan.

Momentum kemenangan pakatan pembangkang harus dihentikan segera. Tidak mustahil ia dapat dibuktikan di Bagan Pinang.

Mungkin secara kebetulan talian kecemasan bernombor "999". Maka PRK ini juga dapat diterjemahkan sebagai PRK ke sembilan (9), di Negeri Sembilan (9) dan diadakan dalam tahun 2009 (9).

Kemenangan dapat membuktikan kepada umum bahawa BN tidak lagi perlu menggunakan talian kecemasan ini. Ia perlu dipindahkan kepada pakatan pembangkang pula!

Ketika ini, BN menguasai 20 daripada kerusi DUN di Negeri Sembilan dengan 16 diwakili oleh pakatan pembangkang.

Kemenangan di Bagan Pinang amat penting bagi BN untuk mengekalkan majoriti dan kesinambungan kuasa di DUN negeri tersebut.