Mencari Hasil Ilmu

Thursday, September 03, 2009

Obama puji umat Islam

Presiden Barack Obama memuji umat Islam di Amerika Syarikat (AS) atas sumbangan mereka memperkayakan budaya negara ini.

Presiden AS itu menyertai Setiausaha-Setiausaha Kabinet, anggota kor diplomatik dan ahli Kongres untuk memberi penghargaan kepada apa yang beliau sifatkan sebagai 'sebuah agama besar serta komitmennya terhadap keadilan dan kemajuan'.

"Sumbangan umat Islam kepada Amerika terlalu banyak untuk disenaraikan kerana masyarakat Islam begitu terjalin erat dengan struktur komuniti kita dan negara kita," kata Obama pada satu majlis berbuka puasa di White House malam tadi.

Turut hadir dua anggota Kongres beragama Islam iaitu ahli-ahli Dewan Perwakilan, Keith Ellison dan Andre Carson di samping duta dari negara-negara Islam dan duta Israel ke Washington, Michael Oren.

Obama bercakap tentang seorang lagi tetamu undangan, Bilqis Abdul-Qaadir, yang memecahkan rekod negeri bagi kutipan mata terbanyak dalam sukan bola keranjang sebagai seorang pelajar sekolah tinggi di Massachusetts.

"Sebagai seorang pelajar cemerlang, sebagai seorang atlet yang akan memasuki Universiti Memphis, Bilqis menjadi inspirasi bukan sahaja kepada gadis-gadis Islam tetapi juga kepada kita semua," kata Presiden itu.