Mencari Hasil Ilmu

Tuesday, September 08, 2009

Arab diseru jangan berbaik dengan Israel

Liga Arab dan pergerakan Hamas menggesa negara-negara Arab supaya menutup pintu kepada sebarang pemulihan hubungan dengan Israel selagi rejim Yahudi itu meneruskan rancangan untuk membina lebih banyak perumahan haram di wilayah Palestin.

Ketua Liga Arab, Amr Mussa dan pemimpin Hamas, Khaled Meshaal menyuarakan pendirian tersebut dalam satu sidang media bersama di sini semalam.

"Mustahil untuk bercakap tentang pemulihan hubungan selagi Israel terus bersikap keras kepala dan menolak sebarang langkah penting ke arah membekukan aktiviti pembinaan kawasan penempatan Yahudi," kata Mussa.

Beliau membuat kenyataan itu selepas Menteri Pengangkutan Israel, Yisrael Katz berkata, rejim Yahudi tidak akan membatalkan rancangan untuk meningkatkan aktiviti pembinaan sekalipun mendapat kritikan meluas termasuk daripada Amerika Syarikat (AS).

Media Israel melaporkan pembinaan rumah baru antara 400 dan 700 unit akan diumumkan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak lama lagi.

"Saya tidak percaya mana-mana kerajaan Arab boleh menghadiahkan pemulihan hubungan kepada Israel. Isu pemulihan ini mesti ditutup," kata Mussa.

Beliau menjangka reaksi yang sangat keras akan timbul di seluruh dunia Arab jika didapati ada negara yang memulihkan hubungan dengan Israel.

Meshaal turut memberi amaran kepada negara-negara Arab supaya 'jangan menghadiahkan pemulihan hubungan kepada Israel'.

Pemimpin Hamas yang berpangkalan di Damsyik itu juga memberi amaran tentang dasar AS di Asia Barat yang menurut beliau 'bertujuan untuk menyatukan negara-negara Arab supaya menentang Iran dan bukan menentang Israel'.

Meshaal bagaimanapun berkata, Hamas akan memantau rapi apa yang bakal dicadangkan oleh Barack Obama berhubung proses damai apabila Presiden AS itu menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) lewat bulan ini.

Washington sejak beberapa bulan lalu menggesa Israel membekukan semua kegiatan pembinaan di samping mendesak negara-negara Arab mengambil langkah ke arah memulihkan hubungan dengan negara Yahudi itu bagi tujuan menghidupkan semula rundingan damai.