Mencari Hasil Ilmu

Tuesday, September 01, 2009

1Malaysia acuan Thailand dan Indonesia?

Jika konsep 1Malaysia ingin dicapai dan direalisasikan, semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum perlu bersatu dan mengorbankan ciri-ciri kaum mereka.

Justeru, adalah perkara-perkara asas dalam pembentukan 1Malaysia seperti pendidikan awalan perlu diselaraskan seperti:

l Tiada sekolah lain selain Sekolah Kebangsaan.

l Sekolah Wawasan perlu diwujudkan kembali dan dikembangkan seluruh negara.

l Penggunaan bahasa kebangsaan diwajibkan dalam urusan rasmi kerajaan, komunikasi, dan surat menyurat. Penggunaan bahasa selain daripada bahasa kebangsaan semasa berurusan dengan agensi kerajaan tidak akan dilayan.

l Penggunaan bahasa kebangsaan juga perlu ditebarkan bukan sahaja di dalam iklan-iklan bertulis tetapi juga iklan elektronik dan media massa.

l Mata pelajaran Sejarah dijadikan mata pelajaran wajib di sekolah rendah dan wajib lulus di peringkat sekolah menengah, manakala mata pelajaran berkaitan sejarah dan integrasi kaum menjadi mata pelajaran teras pelajar tahun 1 di semua IPTA dan IPTS.

l Pertuturan bahasa selain daripada bahasa kebangsaan tidak dibenarkan di kawasan umum. Ini adalah supaya pertuturan tersebut difahami oleh semua kaum di Malaysia, menepati tuntutan pengguguran istilah 'kaum' di dalam borang-borang kerajaan.

l Pendaftaran nama tidak boleh mencerminkan ciri-ciri kaum asalan, tetapi perlulah menambah atau menukar terus dengan nama kebangsaan, iaitu mengikut taburan kaum terbesar di Malaysia.

Cubalah kita lihat negara jiran kita seperti Indonesia dan Thailand. Mereka boleh dilihat sebagai satu kaum yang sama kerana mempunyai ciri-ciri dan identiti yang seragam. Sukar untuk membezakan ciri kaum asal mereka kerana mereka bukan sahaja fasih berbahasa kebangsaan (bahasa Indonesia atau bahasa Siam) tetapi mereka juga mempunyai nama yang mencerminkan ciri negara mereka yang seragam meskipun hakikatnya asal usul kaum mereka berbeza.

Andainya syarat-syarat di atas boleh disepakati untuk dituruti, maka akan lahirlah satu bangsa Malaysia yang bersatu dan di waktu itu barulah seluruh rakyat Malaysia boleh diiktiraf sebagai 1kaum.