Mencari Hasil Ilmu

Sunday, August 30, 2009

Politik Obama Mendekati Islam ???

Presiden Amerika Syarikat Barrack Hussein Obama mengajak negara-negara Timur Tengah serta dunia Islam membuka babak baru hubungan dua hala. Dia menyerukan hal itu dalam ucapan selama hampir satu jam di Universiti Kaherah baru-baru ini. Apakah inti pati babak baru yang beliau tawarkan dan apa saja halangannya?

Tuhan memberi Barrack Hussein Obama sebuah ingatan panjang. Dan Obama membentangkan ingatan itu di hadapan 3,000 hadirin yang memenuhi Auditorium Universiti Kaherah yang luas dan megah. Dalam tempoh hampir satu jam dia membangkitkan tahap demi tahap hubungan pahit-manis Amerika dan dunia Islam.

Dalam ucapan panjang dan menawan, dia mengingatkan, Islam asalnya mempunyai hubungan baik dengan Amerika. Namun banyak perbezaan yang telah meretakkan, bahkan menghancurkan tali silaturahim Amerika Syarikat (AS) dengan para sahabat karibnya di Timur Tengah. Dia menyebutkan tragedi 11 September yang membunuh 3,000 orang warga Amerika; perang Iraq dan perang Afghanistan; perseteruan berdarah Palestin-Israel; penjara Guantanamo, yang kita tahu menyeksa sebahagian besar umat Islam, dan isu senjata nuklear Iran. Obama tidak menyembunyikan hubungan akrab Israel-Amerika yang menurutnya mustahil dipisahkan. Tapi dia mengingatkan Israel bahawa hak hidup bangsa Palestin adalah sesuatu yang harus dihormati. Perjanjian Damai yang menawarkan penyelesaian dua negara-dua bangsa hendaknya dilihat kembali. Ruangan auditorium gemuruh dengan tepukan berkali-kali semasa Obama empat kali menyelitkan ayat al-Quran dalam ucapan yang dia buka dengan sapaan assalamualaikum itu. Tidak ketinggalan peristiwa yang menyakitkan dia huraikan dari atas podium untuk menunjukkan betapa banyaknya “darah dan air mata yang sudah mengalir”, maka segala permusuhan sudah sewajarnya diakhiri.

“Saya datang untuk memulai babak baru hubungan AS dan umat Islam di seluruh dunia,” ujarnya. Obama mencadangkan kepentingan kerjasama dan saling menghormati menjadi batu asas hubungan baru Amerika dan Islam. Ucapan itu tentu sahaja menyedut perhatian para tetamu jemputan, meskipun mereka terpaksa datang tiga setengah jam lebih awal sebelum acara dimulai. Terdapat barisan pemimpin tertinggi AS dan Mesir, barisan diplomatik asing, pemimpin tentera, tokoh akademik, wartawan. Di tempat duduk tetamu kehormat, duduk Syeikhul Al-Azhar, Mohammad Sayid Tantawi, Pengarah Keselamatan Mesir, Omar Sulaiman, Mufti Mesir, Ali Gom’ah, Perdana Menteri Mesir, Ahmad Nazif, serta Gamal Mubarak, anak lelaki Presiden Mesir Husni Mubarak. Malah 11 orang tokoh pembangkang dari Ikhwanul Muslim, termasuk Saad El Katatny, Ketua Ikhwanul di Parlimen, juga turut diundang.