Mencari Hasil Ilmu

Tuesday, August 04, 2009

Anuar, ISA dan Analisis Sinar Harian

Awal minggu lepas, tersebar khabar bahawa sejumlah manusia meneruskan hasrat berdemonstrasi di Kuala Lumpur. Terdapat rakyat Malaysia yang meramalkan demonstrasi itu pasti besar sekali, manakala yang lainnya menduga itu ialah demonstrasi kecil-kecilan. Kejadian yang berlaku, pada perkiraan saya, ialah demonstrasi yang agak besar, tetapi tidak terlalu besar.

Seperti biasa, televisyen menyiarkan pandangan dan keluhan peniaga dan orang lain kerana demonstrasi telah menyusahkan mereka. Akhbar arus perdana juga menyiarkan pelbagai pandangan, kebanyakannya tidak menyenangi demonstrasi.

Demonstrasi ialah kegiatan yang digemari rakyat seluruh dunia. Jika ada perkara besar, maka demonstrasi akan cepat merebak. Jika perkara besar tidak muncul, pemimpin pembangkang yang karismatik berupaya membesarkan perkara. Demonstrasi boleh terjadi akibat daripada perencanaan pemimpin pembangkang yang karismatik itu. Demonstrasi seumpama permainan bola sepak oleh pasukan kelas dunia atau persembahan nyanyian oleh penyanyi yang hebat kerana bidang-bidang ini sama-sama berpotensi menghimpun manusia.

Pada dekad 1970-an, berlaku demonstrasi besar-besaran. Pemimpin muda ketika, iaitu Anwar Ibrahim (kini Datuk Seri), telah berjaya memperlihatkan kehebatan beliau dalam strategi mengumpulkan orang ramai, dan memperdengarkan pidato yang hebat dan berpengaruh. Adalah dipercayai, Dr Mahathir (kini Tun) sendiri amat tertarik dengan cara dan gaya Anwar. Tidak mungkin Dr Mahathir kekurangan maklumat mengenai kehebatan Anwar dalam bidang berpidato dan bidang pengumpulan orang ramai. Bahkan, tidaklah terlalu silap jika kita katakan bahawa pengaruh pidato Anwar dalam dekad itulah yang membawa beliau ke tahap Timbalan Perdana Menteri. Hal ini demikian kerana ketika berada di dalam UMNO, beliau tahu berpidato secara UMNO, bahkan ‘lebih UMNO’ daripada yang lain.

Walaupun ‘lebih UMNO’ daripada yang lain dalam UMNO, pidato Anwar tidak menyengat untuk semua orang ketika beliau menjadi orang nombor dua dalam UMNO, dan dalam kerajaan Barisan Nasional (BN). Beliau tidak menentang ISA ketika itu. ISA tidak disenangi beliau apabila beliau berada di luar kerajaan dan seterusnya menjadi ketua pembangkang. Oleh demikian, sesiapa yang rajin atau agak rajin berfikir, dapatlah memahami makna demonstrasi.

Demonstrasi ialah tindakan berkumpul dan memprotes, hasil perancangan ahli strategi dan demonstrasi akan lebih panas hasil kuasa-kuasa pidato. Dalam keadaan sekarang, strategi dan kuasa pidato tidak hanya berada di tangan Anwar. Adalah silap untuk mengatakan Anwar ialah punca segala-galanya. Yang dapat dikatakan ialah Anwar berpotensi untuk memperkuat demonstrasi. Beliau berpengalaman berpuluh-puluh tahun dalam bidang ini.


Kesediaan PM

Kerajaan telah memberikan jaminan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan dikaji semula dan diperbaiki. Namun, secara tersurat, demonstrasi baru-baru ini adalah berkaitan dengan akta itu. Demonstrasi itu dihebohkan sebagai demonstrasi membantah akta itu dan ada juga kumpulan yang menyokong akta tersebut. Kumpulan kedua itu kecil. Walaupun kumpulan kedua, iaitu yang menyokong ISA adalah kecil, pada hakikatnya memang ada dan mempunyai makna dan maksud yang perlu diperhatikan.

Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Abu Baker mengibaratkan bahasa ISA ialah Taming Sari yang wajar dijagai. Beliau bertentangan pendapat dengan Dr Chandra Muzaffar, Presiden International Movement for a Just World, yang berpendapat ISA ialah bahagian undang-undang yang tercemar.

Pihak kerajaan pasti akan menghalusi segi-segi ini. Tidak mungkin kerajaan akan menghapuskan ISA dengan segera, kerana apabila dihapuskan, jika timbul rasa kesal, rasa kesal itu tidak akan berkesudahan. Daripada pihak pembangkang, terutama yang bersungguh-sungguh mengusahakan perancangan demonstrasi, penghapusan ISA amat dinanti-nantikan, biarpun mereka juga tidak tahu apakah yang akan berlaku jika ISA ditiadakan. Mereka juga tidak tahu menyengat atau tidaknya akta lain yang menggantikan ISA.

Perdana Menteri ada menyebutkan bahawa ada kemungkinan tempat khas akan disediakan untuk maksud berdemonstrasi. Menurutnya, tempat khas itu elok diadakan bagi mengelak berlakunya demonstrasi di tempat-tempat yang menyusahkan orang ramai. Kesediaan Perdana Menteri untuk menerima baik suara 'demonstrator' ialah sikap yang baik. Kita perlu melihat realiti. Demonstrasi akan berlaku lagi, seperti mana berlangsungnya nyanyian di pentas dan perlawanan bola sepak di stadium. Jika penyanyi dan pemain bola mempunyai tempat, mengapakah 'demonstrator' dinafikan tempat?

Idea untuk mengadakan tempat berdemonstrasi sebenarnya muncul pada dekad 1970-an. Ketika itu, terdapat beberapa orang wakil rakyat daripada pihak kerajaan sendiri, yang mengatakan adalah baik jika tunjuk perasaan (istilah lama bagi demonstrasi) diadakan di padang yang diizinkan. Ini akan mengelakkan berlakunya tunjuk perasaan di Masjid Negara.


Pemimpin politik

Masjid Negara sekali-kali tidak sesuai untuk dijadikan tempat orang bersyarah mengenai sesuatu yang belum tentu betul dan belum tentu juga salah. Masjid Negara, daripada pandangan orang Islam, ialah tempat untuk imam berkhutbah membawa mesej yang betul sahaja. Jika berlaku demonstrasi di Masjid Negara, manusia yang berkumpul menyemburkan emosi bukanlah orang Islam sahaja.

Tidaklah kita dengari pemimpin politik mengatakan demonstrasi dihalang sepenuhnya. Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sekadar mengatakan perhimpunan haram itu didalangi pembangkang. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zamry Abdul Kadir, tegas dalam menamakan Anwar sebagai penganjur demonstrasi anti ISA. Katanya, Anwar sedar bahawa sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR) sudah berkurangan dan memerlukan kegiatan seumpama ini. Dengan kata lain, mereka tidak meminta diharamkan kegiatan demonstrasi.

Demonstrasi akan terus muncul atau hadir di tengah-tengah kita. Jadi, kita hendaklah tahu mendekati dan membelainya. Hadapilah demonstrasi dengan bijak dan waspada, seperti mana kita menghadapi inflasi, depresi dan ereksi.

*Pegawai polis yang memeriksa pengunjung2 yang ingin memasukki Masjid Negara adalah satu tindakan yang amat memalukan orang islam dan agama islam. Bagaikan berada di masjid Al- Aqsa yang sering di jaga oleh pasukan bersenjata Israel.