Mencari Hasil Ilmu

Saturday, July 11, 2009

SaguHati Kepada Rakyat

Saguhati diberikan kepada rakyat sempena 100 hari pemerintahan Dato Seri Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 6. Diumumkan pada ucapan beliau di Kuala Lumpur Covension Center (KLCC).

Pemberian Diskaun 20% kepada pengguna kad pra bayar SmartTag dan Touch 'N Go bermula 1hb September 2009

1. Pertamanya, kerajaan menyedari bayaran tol ke atas pengguna-pengguna jalan bertol boleh membebankan dalam keadaan ekonomi masa kini. Terutamanya "frequent users” ataupun pengguna yang kerap yang berpendapatan rendah, kerajaan perihatin tentang hal ini. Untuk itu, bagi meringankan beban pengguna lebuhraya yang menggunakan kad pra bayar Smart Tag dan Touch 'n Go yang membayar tol 80 kali atau lebih sebulan, mereka akan layak menerima diskaun sebanyak 20%.

Pemberian diskaun ini adalah sebagai langkah sementara dan akan bermula pada 1 September 2009. Pengguna yang layak boleh menuntut diskaun tersebut semasa membuat tambah nilai di 136 Point of Sales (POS) di lebuhraya-lebuhraya utama dan di Ibu Pejabat Touch 'n Go Sdn. Bhd. Dalam tempoh 6 bulan selepas itu, kemudahan ini boleh didapati di mesin-mesin ATM dan stesen minyak utama atau agen yang dilantik di Semenanjung Malaysia.

Program Perumahan Rakyat

2. Keduanya, kerajaan komited menyediakan perumahan mampu milik di bawah Program Perumahan Rakyat untuk membantu golongan berpendapatan rendah mendiami rumah yang berkualiti dan mampu dimiliki.

Namun dasar semasa di Wilayah Persekutuan hanya membenarkan mereka menyewa rumah-rumah ini. Bagi mengatasi masalah ini dan untuk memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri, Kerajaan bersetuju untuk membenarkan rumah-rumah tersebut dibuka untuk penjualan bagi penghuni yang sedang menyewa. Jumlah rumah yang ditawarkan untuk tujuan penjualan ini adalah sebanyak lebih kurang 44,000 unit.

Peniaga dan penjaja kecil

3. Ketiganya, berkaitan peniaga dan penjaja kecil. Pada Sabtu 20hb Jun bertempat di Tanjung Karang, Selangor semasa majlis ramah mesra dengan gabungan persatuan penjaja dan peniaga kecil Melayu Malaysia, mereka telah memohon pengurangan sehingga 50% bayaran lesen bagi peniaga kecil dan penjaja. Hari ini, saya dengan sukacitanya mengumumkan semua 69,000 penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan akan menikmati potongan sebanyak 50% kepada pembaharuan dan lesen baru mereka yang berkuat kuasa serta merta. Ini bukan sedikit jumlah potongannya, ia melibatkan antara RM 10 hingga RM 700 setahun. Jadinya, saya menyeru agar kerajaan-kerajaan negeri yang lain juga mengambil langkah yang sama untuk mengurangkan beban para peniaga kecil dan penjaja semasa sebagai tanda kita prihatin terhadap mereka dalam menghadapi krisis ekonomi yang sedang melanda.

4. Selain itu keempat, secara umumnya ke seluruh Malaysia, kerajaan telah memperuntukkan RM 150 juta untuk skim TEKUN bagi faedah peniaga dan penjaja kecil. Manakala RM 15 juta lagi diperuntukkan khusus untuk kegunaan masyarakat India melalui program pembangunan usahawan muda mereka.


Penambahan pengeluaran permit teksi

5. Kelimanya, kerajaan telah mengambil keputusan untuk menambah permit teksi kepada individu. Kita dapati pemberian permit sebegini akan memangkin motivasi pemilik teksi bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik serta memberi layanan yang lebih mesra kepada pelanggan. Setakat ini kerajaan telah memberikan lebih 7,000 permit teksi individu. Di sini, saya umumkan, jumlah permit ini akan ditambah sebanyak 3,000 lagi dalam masa tiga bulan akan datang. Walau apa pun, yang lebih penting mutu perkhidmatan haruslah ditingkatkan bersama dengan senyuman yang mesra.


Kementerian Dalam Negeri (KDN)

Mencegah jenayah

6. Keenamnya, seperti yang saya sebutkan di awal tadi, salah satu bidang keberhasilan utama nasional (NKRA) yang telah dikenal pasti oleh pihak kerajaan adalah meningkatkan tahap keselamatan awam. Dalam hal ini, kerajaan komited untuk mengurangkan kadar jenayah antaranya yang berleluasa seperti ragut dan pencurian kenderaan. Perincian langkah-langkah pencegahan konkrit akan diumumkan pada penghujung bulan ini.

Pendaftaran kelahiran

7. Ketujuh, bersangkutan pendaftaran kelahiran. Saya sedar pendaftaran kelahiran merupakan satu isu yang dekat di hati rakyat terutamanya di Sabah dan Sarawak. Oleh itu, pihak Kerajaan akan terus mempergiatkan usaha bagi memastikan bilangan pendaftaran lewat kelahiran dapat didaftarkan dengan kadar segera.

Untuk Sabah, semenjak 2005 sebanyak 36,000 permohonan pendaftaran telah diterima dan daripada jumlah tersebut 92% telah diluluskan. Manakala di Sarawak, semenjak tahun 2005 sebanyak 19,000 permohonan telah diterima dan daripada jumlah tersebut, 80% permohonan telah diluluskan.


Untuk itu, saya mahukan Unit Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) khususnya di Sabah dan Sarawak akan terus diperkemas bagi memberi bantuan dan kemudahan yang lebih luas kepada penduduk di pedalaman untuk mendaftarkan kelahiran anak mereka.

Kewarganegaraan

8. Kelapan, dalam hal kewarganegaraan, untuk makluman, jumlah permohonan yang tertangguh pada 1 November 2008 adalah sebanyak 34,000. Sehingga Jun 2009, sebanyak 46 peratus telah selesai dibuat keputusan. Usaha untuk menyelesaikan baki permohonan yang belum diputuskan akan dipergiatkan lagi dengan sasaran penyelesaian sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

Dalam pada itu, pihak Kerajaan juga akan menyegera dan mempertimbangkan permohonan Permit Masuk untuk membolehkan pemohon mendapat taraf Penduduk Tetap. Sehingga 2008, sebanyak 34,000 permohonan Permit Masuk diterima oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan sebanyak 41 peratus telah diluluskan.

Infrastruktur Luar Bandar

9. Kesembilannya, selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menambah baik connectivity dan akses kepada kemudahan asas, pelaksanaan program people centric seperti jalan luar bandar dan kemudahan bekalan elektrik dan air akan dipertingkatkan terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Jalan Luar Bandar

10. Kesepuluh, kerajaan akan menggandakan pembinaan jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak daripada 750 kilometer yang dibina dalam Rancangan Malaysia Ke-9 kepada 1,500 kilometer dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 dan di Semenanjung Malaysia, kerajaan akan meningkatkan pembinaan rangkaian jalan demi kemudahan rakyat.


Bekalan Air dan Elektrik di Sabah dan Sarawak

11. Kesebelas, bersangkutan liputan bekalan air yang boleh diminum kini berada pada tahap 52% di Sabah dan 61% di Sarawak. Liputan ini akan ditambah menjadi sekurangnya 80% menjelang tahun 2015. Manakala, penekanan yang sama juga akan diberikan kepada liputan bekalan elektrik. Sasaran dan KPI untuk peningkatan ini akan dikemukakan pada hujung bulan ini.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)

12. Perkara yang kedua belas berkaitan lesen memandu. Sesungguhnya generasi muda adalah taruhan masa depan negara. Kerajaan amat memahami bahawa generasi muda adalah generasi yang idealistik dan mempunyai aspirasi, citarasa serta gaya hidup yang tersendiri. Dunia mereka adalah dunia internet, hiburan dan bersosial sesama mereka di tempat-tempat yang popular. Ini termasuklah kemampuan untuk mereka bergerak dari satu tempat ke satu tempat tanpa melibatkan kos yang tinggi. Makanya, motosikal menjadi mod pengangkutan pilihan sebilangan besar anak muda.

Namun begitu, berdasarkan kepada maklumat jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), hanya 6 juta pemegang lesen memandu motosikal kelas B2 yakni 250cc ke bawah.Ini bermakna ramai yang menunggang motosikal tanpa memiliki lesen memandu. Rata-rata terdiri dari anak muda yang berkapcai ke hulu dan ke hilir.

Masalahnya, saya dapati kos mendapatkan lesen memandu adalah tinggi iaitu di antara RM500 sehingga RM700. Sehubungan ini, sebagai kerajaan yang memahami naluri anak muda, kita memutuskan untuk membantu secara keseluruhan pengguna motosikal mendapatkan lesen memandu mereka dengan mengurangkan kadar bayaran belajar dan kadar lesen memandu. Ini tidak akan menjejaskan kompitensi di mana ujian kelayakan masih lagi dikekalkan. Saya gembira, institut memandu menyambut baik hasrat kerajaan dan telah bersetuju mengurangkan caj bayaran latihan kepada sebanyak RM211. Inisiatif baru ini akan berkuatkuasa mulai 1 September 2009 sempena bulan kemerdekaan.


Permodalan Nasional Berhad (PNB)

Amanah Saham Wawasan untuk golongan miskin di Bandar

13. Akhir sekali yang ketiga belas, dalam rangka untuk meratakan kemakmuran Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk Skim Amanah Saham Wawasan terutamanya bagi golongan miskin tegar di bandar. Skim ini bertujuan untuk meringankan bebanan mereka terutama di hujung tahun bagi menampung keperluan persekolahan anak-anak. Menjelang 2010, seramai 20,000 isi rumah miskin tegar di bandar akan diberi sebanyak 10,000 unit untuk isi rumah di bawah senarai E-Kasih.

Selaras dengan usaha kerajaan untuk menggalakkan rakyat Malaysia untuk melabur, kerajaan telah bersetuju bagi PNB untuk menubuhkan satu lagi tabung unit amanah baru iaitu "Amanah Saham 1Malaysia (AS 1MALAYSIA)”. Tabung unit amanah baru yang akan dilancarkan tidak lama lagi ini akan dibuka kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan akan mempunyai saiz sehingga 10billion unit tertakluk kepada permintaan semasa.

Penubuhan tabung unit amanah baru pada ketika ini adalah sesuai selaras dengan jangkaan pemilihan ekonomi dalam tempoh separuh tahun kedua tahun ini. Tabung ini dijangka akan memberi peluang pelaburan kepada pelabur untuk menikmati pulangan pendapatan yang berpatutan dalam tempoh jangka panjang.

* Sumber dari http://www.1malaysia.com.my.