Mencari Hasil Ilmu

Sunday, July 26, 2009

Islam di Asean

SATU demi satu buku-buku mengenai Islam menjadi bahan karya para penulis Barat. Antaranya ialah mengenai kedukaan warga Islam sebagai golongan majoriti dan minoriti dalam ke-10 buah negara ASEAN.

Buku diedit oleh Virginia Hooker, Sarjana Jurusan Pengajian Indonesia dan Melayu di Australian National University. Turut disiarkan ialah gambar dari penjara Manila yang menunjukkan seorang pesalah Islam sedang menyampaikan azan dari menara yang pada bahagian atas memperlihatkan tanda bulan dan bintang. Lalu diperturunkan jumlah penduduk ASEAN dan bilangan peratus yang beragama Islam

Jelas bahawa Indonesia mempunyai penduduk Islam yang paling ramai sekali dalam dunia, iaitu kira-kira 13 peratus dari 1.3 bilion umat Islam di seluruh dunia. Paling ramai ialah di Pulau Jawa, Sumatera dan Sulawesi.

Di Filipina paling ramai Islam ialah di Pulau Mindanao dan Kepulauan Sulu hingga menghampiri Sabah. Di Sabah pula "ratusan ribu lagi warga Islam Filipina (Moro) bermastautin sejak perang saudara pada awal 1970-an, ramai secara tetap."

Di Thailand dilaporkan seterusnya, warga Islam berupa golongan minoriti negara yang lebih 90 peratus penduduknya beragama Buddha. Warga Islam berselerak tetapi "paling ramai ialah di Wilayah Narathiwat, Pattani, Yala, Satun dan Songkhla.

Di Brunei terdapat ideologi rasmi Melayu Islam Beraja. Mereka yang bukan Islam dibenarkan mengamalkan agama masing-masing, tetapi tidak dibenarkan mengembangkan agama mereka di kalangan orang Islam. Brunei turut mengharamkan Darul Arqam sebagaimana telah dilakukan di Malaysia.

Mengenai Myanmar disebut betapa agama Islam mula merebak melalui kelasi-kelasi kapal beragama Islam pada abad ke-8 dan berikutan itu kedatangan pedagang-pedagang Arab, Parsi dan India Islam. Orang Islam warga China pula tiba pada abad ke-13. Turut berhijrah ke Burma (nama lama) ialah kaum diakui secara rasmi oleh Republik Sosialis Vietnam dan Kemboja."

Banci tahun 2000 menunjukkan bahawa jumlah penduduk Islam di Malaysia meningkat hingga 60.4 peratus dari 58.6 peratus pada tahun 1991. "Kesemuanya orang Melayu dan sebilangan kecil orang India beragama Islam."

Bilangan orang Islam di Sabah meningkat dari 40 peratus pada tahun 1970 hingga 51 peratus dalam masa 10 tahun. Di Sarawak pula bilangan masih 30 peratus.

Juga disebut betapa jumlah warga Islam di Semenanjung (lebih 80 peratus) bertumpu di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Lantas dicatat pada peringkat awal bahawa "Islam kian lebih penting dalam kehidupan seharian Islam Malaysia dan politik negara.

Mengenai Filipina disebut betapa usaha-usaha oleh warga Islam dan bukan Islam untuk mencapai perpaduan berkali-kali gagal kerana kedudukan jauh dan kepelbagaian budaya.

Faedah

Warga Islam di Singapura adalah "minoriti Islam paling besar dan kiraan peratus." Mereka telah mendapat faedah daripada perkembangan ekonomi Singapura yang merdeka sejak 1965. Kira-kira 85 peratus orang Islam di Singapura (313,780) adalah orang Melayu dan 15 peratus lagi dari 45,927 orang India, 2,687 orang China dan 6,891 keturunan Arab.

Di Thailand warga Islam berselerak dan kebanyakan bermastautin di bahagian selatan.

"Orang Melayu Islam terpisah dari lain-lain warga Thai bukan sahaja melalui agama tetapi juga melalui budaya."

Warga Islam di lima wilayah selatan Thai kira-kira 1,769,818. Di Bangkok pula terdapat 274,100 warga Islam.

Buku yang diedit oleh Virginia Hooker dan rakannya Greg Fealy berjudul Voices of Islam in Southeast Asia (2006) menyebut betapa pada bulan September 2001 Perdana Menteri Malaysia ketika itu menyatakan bahawa Islam wajar dianggap sebagai agama rasmi. "Kenyataannya itu serta-merta mencetuskan kontroversi."

Wajar dicatat bahawa pada tahun 2004. Virginia Hooker bersama seorang lain mengedit sebuah buku berjudul Islamic Perspectives on the New Millenium. Antara kandungan ialah makalah oleh Mohamed Aris Uthman dari Universiti Islam Antarabangsa.

Antara lain Aris menulis mengenai Islam menjadi agama majoriti dalam 42 negara dunia dengan 700 juta pengikut dan 400 juta lagi di negara-negara lain. Beliau lalu menyebut perlunya masyarakat Islam disusun semula kerana beberapa faktor yang menyebabkannya tidak teratur.

Pertama ialah akibat penjajahan dan penindasan ke atas kaum pribumi. Kedua ialah proses menyokong pihak Barat melalui pelbagai kepentingan sebilangan pemimpin dan ini membawa kepada perpecahan dalam dunia Islam. Ketiga ialah kegagalan kepimpinan sekular dunia untuk berkhidmat bagi ummah.

Menurutnya lagi, dewasa ini terdapat dua juta umat Islam di Amerika dan dua juta lagi di negeri Jerman. Di negeri Perancis pula, kira-kira 2.5 juta dan di Britain lebih satu juta. Masjid-masjid telah dibina dari Los Angeles hingga ke Moscow, Rome dan Zegreb.

Pada tahun 1994. warga Islam Sepanyol mendirikan Universiti Islam Antarabangsa. Dan lima abad selepas kejatuhan Islam di Sepanyol, azan kembali kedengaran lima kali sehari dari masjid lama di Cordoba.

Jelas bahawa antara yang diterbitkan ialah buku-buku rujukan bagi pelbagai pihak. Voices of Islam, umpamanya memberi penjelasan mengenai lebih 200 juta orang Islam di Tenggara Asia.

"Kesemua yang Islam membaca al-Quran dan ramai mempelajari bahasa Arab untuk lebih memahami perintah Tuhan. Hanya sebilangan kecil orang Kristian mengkaji kitab New Testament bahasa Greek atau Latin supaya lebih memahami kandungan kita Injil. Kebanyakan membaca kitab Injil melalui terjemahan-terjemahan dalam bahasa mereka sendiri.

Turut dihuraikan ialah pelbagai cabaran yang dihadapi oleh orang Islam dan bukan Islam pada peringkat awal abad ke-21 kini. Menyusul kelak ialah lain-lain buku mengenai Islam.

**Sumber Mazlan Nordin ,Penulis ialah Tokoh Wartawan Negara 2001.