Mencari Hasil Ilmu

Tuesday, July 14, 2009

Cadangan pembentukan pemerintahan berdaulat ditolak keras kerajaan Israel

Kesatuan Eropah (EU) menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf pembentukan sebuah negara Palestin yang berdaulat selepas tempoh tertentu meskipun pemimpin Israel dan Palestin belum mencapai persetujuan.

Cadangan itu dibuat oleh ketua dasar luar EU, Javier Solana, dalam satu syarahan di London, Sabtu lalu, saranan yang ditolak sekeras-kerasnya oleh Israel.

"Selepas satu tempoh yang ditetapkan berlalu, satu resolusi Majlis Keselamatan PBB wajar mengisytiharkan kelulusan kepada pembentukan dua negara sebagai jalan keluar," kata Solana.

Resolusi itu juga patut meliputi persoalan garis sempadan, pelarian, pihak yang mengawal bandar Baitulmaqdis dan isu keselamatan.

"Ia (resolusi itu) akan menerima sebuah negara Palestin sebagai anggota penuh PBB dan menetapkan kalendar pelaksanaan. Ia juga memberi mandat menyelesaikan pertikaian wilayah dan mengesahkan tiada lagi pihak boleh membuat tuntutan selepas itu," kata Solana.

Sambil meminta perunding antarabangsa menetapkan jadual untuk perjanjian damai, beliau juga menyokong garis sempadan berasaskan kepada sebelum perang 1967 di antara Israel dengan Mesir, Syria dan Jordan apabila rejim Zionis menawan Tebing Barat.

"Jika pihak berkenaan tidak dapat menerima (jadual itu), satu penyelesaian yang disokong masyarakat antarabangsa wajar dibentangkan," katanya lagi.

EU adalah sebahagian daripada Kuartet Asia Barat bersama Amerika Syarikat, Russia dan PBB. Di Baitulmaqdis, ketika menjawab balas, Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman, menolak gesaan Solana itu.

"Perjanjian damai hanya boleh dicapai menerusi rundingan secara langsung dan tidak boleh dipaksa. Sebarang pendekatan yang meminta tempoh akhir ditetapkan menjejaskan peluang mencapai persetujuan dua hala," katanya kepada radio.

Israel menghadapi tekanan yang semakin meningkat dari sekutu terdekatnya, Washington supaya mengambil langkah menggerakkan semula proses damai.

Washington menyarankan Tel Aviv memberhentikan semua kegiatan membina penempatan tetapi pentadbiran Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, enggan melakukannya.