Mencari Hasil Ilmu

Monday, March 02, 2009

PALESTINE memerlukan bantuan

Pihak Berkuasa Palestin (PA) berharap mendapat dana sebanyak AS$2.8 bilion (RM10.36 bilion) dari penderma antarabangsa yang akan bersidang di Mesir esok bagi membincangkan pembinaan semula Genting Gaza yang musnah dibedil Israel.

Serangan negara Yahudi selama 23 hari yang tamat pada 18 Januari lalu, telah mengakibatkan kemusnahan berjumlah AS$1.95 bilion (RM7.21 bilion), demikian menurut Majlis Ekonomi Kemajuan dan Pembinaan Semula Palestin (PECDAR).

Badan itu menggariskan:

- Sebanyak 5,000 kediaman musnah sementara 20,000 lagi rosak teruk.

- Kerosakan ke atas fasiliti sekolah dianggarkan sekitar AS$55 juta (RM203.5 juta).

- Hospital dan klinik AS$25 juta (RM92.5 juta).

Dalam pelan yang akan diserahkan kepada sidang penderma itu esok, Menteri Perancangan Palestin, Samir Abdallah akan meminta bantuan kewangan:

- Pembinaan semula dan baik pulih kediaman : AS$450 juta (RM1.66 bilion).

- Sektor pertanian AS$265 juta (RM980 juta).

- Sektor industri AS$156 juta (RM577 juta).

PA juga mahu penderma antarabangsa agar menyelesaikan defisit belanjawan sebanyak AS$1.5 bilion (RM5.55 bilion).

Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah pada Januari lalu, mengumumkan geran AS$1 bilion (RM3.7 bilion) untuk pembinaan semula Gaza dan hasrat beliau akan menjadi perkara rasmi dalam persidangan penderma di bandar Sharm el-Sheikh, Mesir esok.

Amerika Syarikat dilaporkan mahu menderma AS$900 juta (RM3.3 juta) sementara Jawatankuasa Eropah akan menyumbang sebanyak 436 juta euro (RM2.04 bilion) sebagai bantuan kepada Genting Gaza.

Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas semalam menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya akan mengepalai pembinaan semula di Genting Gaza.

Walaupun kumpulan Fatah pimpinan beliau baru saja melancarkan rundingan damai dengan Hamas yang mentadbir Gaza, ketegangan politik rantau itu mungkin menggagalkan usaha tersebut tidak kira berapa banyak wang yang akan disumbangkan.

“Kami menjangka bantuan antarabangsa segera dari semua pihak untuk membina semula Gaza.

“Kami juga berharap bahawa seperti mana pada masa lalu, hanya ada satu mekanisme penggerak iaitu Pihak Berkuasa Palestin (PA),” kata Abbas kepada pemberita selepas pertemuan dengan ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU), Javier Solana.