Mencari Hasil Ilmu

Monday, March 02, 2009

AS harus undur segera - Khamenei

Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei memberitahu Presiden Iraq di sini semalam bahawa tentera Amerika Syarikat (AS) hendaklah berundur dari Iraq lebih cepat daripada yang dirancang kerana sebarang penangguhan akan memudaratkan negara itu.

Khamenei membuat gesaan itu sehari selepas Presiden Barack Obama mengumumkan AS akan membawa keluar semua askar tempurnya dari Iraq selewat-lewatnya pada Ogos 2010 dan semua baki askar menjelang akhir tahun berikutnya.

"Tentera penceroboh perlu meninggalkan Iraq secepat mungkin kerana pengunduran mereka jika ditangguhkan sehari pun akan memudaratkan Iraq," kata Khamenei kepada Presiden Iraq, Jalal Talabani menurut laporan televisyen kerajaan Iran.

Teheran yang menganggap kehadiran AS di Iraq sebagai ancaman terhadap keselamatan dan pengaruhnya sendiri di rantau ini, telah menggambarkan penempatan tentera AS sebagai punca utama masalah Iraq dan berkali-kali menuntut mereka diundurkan segera dari Iraq.

AS pula menuduh Iran mencetuskan keganasan di Iraq dengan menyokong militia Syiah di negara itu.