Mencari Hasil Ilmu

Wednesday, February 04, 2009

SOKONGAN TEHRAN TERHADAP PALESTINE

Pemimpin politik tertinggi Hamas menyanjung sokongan kuat Iran ketika serangan Zionis ke atas Semenanjung Gaza baru-baru ini dan menyifatkan negara berkenaan sebagai rakan gandingan dalam memperoleh kemenangan terhadap Israel.

Lawatan Khaled Mashaal ke Teheran menunjukkan hubungan rapat kumpulan terbabit dengan Iran.

Bagaimanapun sokongan kewangan negara itu kepada kumpulan militan Palestin terbabit akan terjejas beberapa bulan akan datang berikutan Republik Islam itu sendiri berdepan masalah kewangan berikutan kejatuhan harga minyak.

Lawatan Mashaal adalah yang pertama sejak Israel melancarkan serangan selama 22 hari lewat Disember lalu bertujuan menghentikan serangan roket Hamas terhadap selatan Israel.

Pertempuran itu mengorbankan hampir 1,300 penduduk Palestin, kata pihak berkuasa Gaza selain 13 penduduk Israel.

Israel dan Amerika Syarikat mendakwa Iran membekalkan senjata kepada Hamas termasuk roket. Teheran bagaimanapun menafi-kan dakwaan itu dengan menyatakan mereka hanya membiayai kewangan Hamas dipercayai berjumlah beratus-ratus juta dolar.

Dana berkenaan membantu membiayai Hamas yang berada dalam sekatan yang dilaksanakan Israel dan Mesir terhadap Gaza sejak militia berkenaan berkuasa pada 2007.

Mashaal yang tinggal dalam buangan di Syria berkata, Teheran memainkan peranan besar dalam membantu Hamas ketika serangan Israel dengan sokongan kewangan dan moral.