Mencari Hasil Ilmu

Saturday, January 10, 2009

Kalau boikot tidak berkesan, hantar tentera ke Gaza

PERTELINGKAHAN antara Palestin dan Israel telah berlanjutan lebih enam dekad, namun tiada resolusi dan formula dapat diguna pakai bagi membantu menyelesaikan kemelut itu.

Apatah lagi Amerika Syarikat (AS) sentiasa memberi sokongan kepada apa sahaja tindak-tanduk yang dilakukan Israel tanpa sebarang sekatan mahupun memberi amaran kepada Israel yang tidak pernah takut kepada sesiapa walaupun ia hanya merupakan sebuah penempatan kecil yang dikelilingi negara-negara Arab.

Banyak forum, dialog dan gesaan telah dilakukan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan juga Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mengenai kedudukan Palestin namun sehingga hari ini tiada sebarang kesan atau perkembangan positif berlaku yang berpihak kepada Palestin.

Sebaliknya kerajaan di bawah rejim Zionis itu semakin mengganas. Selepas lebih 700 rakyat Palestin terkorban, akhirnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan sidang tergempar berhubung krisis kemanusiaan berpunca daripada serangan rejim Zionis Israel ke atas penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.

Sidang tergempar itu berlangsung atas permintaan negara-negara Arab dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang mahu badan dunia itu menyatakan pendirian berhubung satu lagi tindakan di luar batas kemanusiaan oleh Israel.

Jika dunia mengutuk tindakan tentera Jerman dan pemimpinnya Hitler melakukan 'holocaust' maka sekarang pembunuhan beramai-ramai sedang berlaku di depan mata kita. Siapa mahu bersuara bangkitkan isu ini.

Dalam soal ini ketegasan bertindak amat diperlukan. Malaysia boleh bertegas manakala negara-negara Islam lain sudah pasti bukan sahaja tidak berani bersuara malah takut untuk bertindak.

Keadaan ini berlaku kerana sama ada hendak diakui atau tidak, perpaduan di kalangan negara Islam tidaklah sekukuh hubungan antara puak Yahudi dengan proksi-proksinya.

Rakyat Malaysia yang bersimpati dengan Palestin bukan sahaja mengecam tindak tanduk kejam Zionis tetapi turut mengadakan tunjuk perasaan di Kedutaan Amerika Syarikat semalam dan minggu lalu.

Tidak cukup dengan demonstrasi, bantahan terhadap sokongan AS kepada Israel diterjemahkan dengan meningkatkan seruan bagi memboikot produk negara kuasa besar itu.

Inilah cara paling mudah bagi kita orang Islam untuk merubah apa yang sedang dilakukan terhadap saudara di Palestin. Kita digesa mengenakan boikot terhadap semua produk yang ada kaitan dengan Yahudi.

Di samping itu ada juga yang menggesa orang Islam supaya menghentikan daripada menyimpan wang di dalam bank AS.

Sentimen boikot produk AS juga telah mencetuskan ketakutan di kalangan pemegang francais rangkaian makanan segera AS tempatan yang bimbang perniagaan mereka akan terjejas untuk jangka masa panjang.

Apa pun, daripada pemantauan yang dilihat, usaha memboikot barangan dan perkhidmatan AS dan Israel belum ketara. Ertinya kita belum bersungguh-sungguh untuk melakukan boikot. Malah ramai yang tidak tahu barang apa yang hendak dipulaukan.

AS adalah kuasa besar dunia dari segi ekonomi dan ketenteraan. Tidak dapat dipastikan sejauh mana kita dapat membebaskan diri daripada hubungan dagangan dengan AS. Sebab kita telah terlalu lama bergantung kepada mereka, dalam bidang ekonomi.

Sebab itu, kita bimbang usaha dan kempen boikot ke atas produk AS hanya panas buat seketika macam hangat-hangat tahi ayam.

Kita sudah ada pengalaman dalam kempen seumpama ini. Tentu kita tidak lupa terhadap penghinaan ke atas Nabi Muhammad yang dilakukan oleh salah seorang ahli Parlimen Belanda pada 2007.

Dulu heboh kita marah dan canangkan supaya memboikot produk dari Belanda. Namun akhirnya, kita sendiri keletihan dan lupa perjuangan untuk mengajar Belanda. Boikot entah ke mana, yang hairan kita kembali menyokong produk buatan Belanda.

Dalam konteks untuk mengajar AS dan Israel, tidak pasti sejauh mana usaha kita memboikot produk AS dan Israel akan bertahan.

Bagaimana rakyat Malaysia dapat membantu Palestin? Kutipan derma dan berdoa akan kesejahteraan agar rakyat Palestin diberi perlindungan oleh Allah SWT tidak memadai. Kerana ia pasti tidak akan menamatkan konflik di sana.

Sebab itu elok kita segarkan semula cadangan supaya dibentuk pasukan tentera pengaman dari negara-negara Islam. Hanya cara ini sahaja dapat meredakan pergolakan di Semenanjung Gaza. Tetapi persoalannya negara mana mahu memulakan dan merelakan tenteranya dikerah ke sana?

Patutkah Malaysia patut memulakannya?