Mencari Hasil Ilmu

Wednesday, January 28, 2009

Israel cabuli gencatan senjata, lancar serangan di Gaza

Gencatan senjata yang berkuat kuasa lebih seminggu lalu antara Hamas dengan Israel, terancam seketika semalam apabila seorang penduduk Palestin maut ditembak tentera Yahudi sejurus selepas sebuah stesen televisyen Arab melaporkan seorang tentera Yahudi terbunuh dalam satu letupan bom berhampiran sempadan Gaza.

Anwar al-Dreim, 24, terkorban berhampiran sempadan Gaza dengan Israel, kata pasukan perubatan tetapi tidak dapat dipastikan jenis tembakan, artileri atau bedilan helikopter tempur, yang membunuhnya.

Sementara itu, tentera Israel semalam menceroboh semula seketika ke dalam kawasan Gaza selepas berundur lebih seminggu lalu, bagi memburu mereka yang bertanggungjawab terhadap letupan itu.

Dentuman tembakan kedengaran di kawasan sempadan dan helikopter tentera Israel kelihatan berlegar sambil melepaskan tembakan mesingan ke arah sasaran di tengah Gaza.

Ia adalah pertempuran paling serius sejak kedua-dua pihak yang bertelagah, mengumumkan gencatan senjata secara bersendirian berikutan tekanan antarabangsa selepas tentera rejim Zionis mengganas selama 22 hari di Gaza dengan membunuh kira-kira 1,300 penduduk Palestin.

Tentera Israel mendakwa, letupan bom terbabit mensasarkan pasukannya yang meronda di kawasan sempadan Kissufim. Bagaimanapun Tel Aviv tidak memberi butiran lanjut dan setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.

Sebuah jet pejuang Israel juga kelihatan terbang rendah di atas Bandaraya Gaza mencetuskan letupan bunyi yang kuat, mungkin sebagai amaran berikutan insiden tentera Israel terbunuh itu. Israel juga untuk seketika menutup pintu sempadan dengan Gaza berikutan serangan bom itu.

Mesir kini menjadi orang tengah dalam rundingan gencatan senjata jangka panjang bagi membolehkan bantuan disampaikan kepada 1.4 juta penduduk Gaza yang teruk menjadi mangsa pengeboman Israel.

Hamas yang memerintah Gaza sejak Jun 2007 selepas mengusir kumpulan Fatah pimpinan Presiden Mahmoud Abbas, menuntut Israel dan Mesir membuka semula sempadan dengan Gaza yang ditutup sejak ia berkuasa di wilayah itu.

Israel pula mahu jaminan penyeludupan senjata ke wilayah Palestin itu dihentikan dan Hamas tidak lagi melancarkan roket ke wilayah yang diduduki Yahudi.

Serangan Israel terhadap Gaza membunuh 1,285 rakyat Palestin, lebih separuh daripadanya orang awam, menurut rekod Pusat Hak Asasi Palestin, manakala 13 rakyat Israel, termasuk tiga orang awam terbunuh dalam perang tiga minggu itu.
Seorang pemimpin Hamas, Mushir al-Masri, berkata Israel harus dipersalahkan ke atas insiden terbaru itu kerana terus melepaskan tembakan ke arah Gaza walaupun ada gencatan senjata.

"Rejim Zionis bertanggungjawab di atas mana-mana keganasan yang tercetus," katanya.