Mencari Hasil Ilmu

Tuesday, January 06, 2009

Dunia perlu segera bincang penyelesaian isu Palestin

SEMALAM genap sepuluh hari bumi Semenanjung Gaza dibedil bom baik melalui serangan udara mahupun pertempuran darat oleh tentera rejim Zionis Israel.

Jumlah korban di pihak Palestin semakin meningkat. Kemarahan dan kebencian masyarakat antarabangsa terhadap Israel dan bapa angkatnya Amerika Syarikat (AS) juga semakin membuak-buak.

Kita bimbang kebencian itu akan mempengaruhi emosi pihak yang sanggup melakukan apa sahaja demi 'mengajar' AS yang terus membela tindakan ganas dan kejam tentera Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza.

Malangnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti tiada taring untuk bersuara bagi membela nasib penduduk Palestin yang dianiaya oleh Israel. Kita tidak mahu PBB terus tidak bermaya dan membiar AS mencengkam kuasanya.

Masyarakat antarabangsa setiap hari mengadakan tunjuk perasaan menggesa serangan dan pembunuhan ke atas penduduk awam Palestin dihentikan.

Apakah mesej daripada penduduk dunia tidak diterima oleh PBB? Apakah dunia harus terus membisu apabila AS mengatakan Israel bebas untuk menyerang Gaza demi mempertahankan wilayah mereka daripada serangan roket Hamas.

Malaysia sebagai sebuah negara Islam tidak boleh lagi menutup mulut daripada menyuarakan ketidakadilan terhadap nasib umat Islam Palestin. Sebab itu melalui Perdana Menteri kita, Malaysia mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu segera mengadakan Perhimpunan Agung Khas.

Melalui perhimpunan itu dapatlah masyarakat dunia mengambil langkah berkesan menghentikan kekejaman Israel di Palestin.

Usaha ini tidak boleh dilengah-lengahkan dengan bermacam alasan. Hakikat sekarang, penduduk Palestin di Gaza sedang dihimpit kesengsaraan dan serangan Zionis Israel. Masa depan mereka adalah antara hidup dan mati.

Mereka perlu dibantu. Anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) serta anggota ASEAN perlu memberi sokongan dan kerjasama supaya perhimpunan itu dapat diadakan segera.

Kita tidak boleh mengharapkan tindakan Majlis Keselamatan PBB kerana usul resolusi mengenai Palestin pun sudah ditolak mentah-mentah oleh AS.

Malaysia percaya hanya melalui Perhimpunan Agung Khas bagi mengeluarkan resolusi 'Perpaduan Untuk Keamanan' akan dapat mengetepikan sebarang tindakan penolakan AS dalam isu Palestin itu.

PBB yang didokong oleh negara-negara yang berdaulat perlu mendengar suara dunia yang melihat perbuatan Zionis sudah melampaui batas kemanusiaan.

Apakah suara dunia yang mendesak dihentikan keganasan di Gaza tidak mahu dilayan oleh PBB? Jika demikian apakah makna pertubuhan itu kepada segelintir penduduk bumi yang berdepan dengan penganiayaan dan tindakan berat sebelah seperti nasib rakyat Palestin?